Cuepacs yakin kerajaan komited laksana kenaikan gaji 


Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata pihaknya yakin kerajaan mampu untuk melaksanakan kenaikan gaji kakitangan awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2023.

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin kerajaan akan terus komited dalam melaksanakan kenaikan gaji kakitangan awam, tanpa mengambil kira keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata adalah tidak wajar untuk mengatakan bahawa perkara itu tidak akan dilaksanakan oleh kerajaan kerana PRN berada di bawah ‘tajuk’ yang lain.

“Ada pandangan netizen yang nakal, yang telah mempersoalkan sebarang bentuk (inisiatif) yang telah diumum kerajaan sebelum ini hendaklah tidak diberi kepada anggota khidmat awam disebabkan keputusan PRN. Ini pandangan yang serong dan tidak berperlembagaan.

“Kerajaan adalah majikan kami, itulah tempat kami mengadu keluh kesah dan memohon. Jika majikan kami telah setuju tingkatkan gaji, maka kami yakin kerajaan mampu untuk melaksanakan sama ada keputusan PRN dilihat positif atau negatif… itu tajuk lain,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Kuala Terengganu, hari ini.

Baru-baru ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan berusaha untuk menaikkan sedikit gaji penjawat awam menerusi Belanjawan MADANI kedua yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini.

Beliau dilaporkan berkata ia sebagai langkah sementara, sehingga kajian menyeluruh berhubung skim gaji dan persaraan penjawat awam selesai dilakukan, yang dijangka pada tahun depan.

Dalam pada itu menurut Adnan, komitmen berterusan Perdana Menteri itu menunjukkan keprihatinan beliau dan memahami kesukaran pejawat awam khususnya yang berada dalam kumpulan gaji terendah.

“Cuepacs berterima kasih kepada perdana menteri yang konsisten untuk meningkatkan pendapatan penjawat awam,” katanya. – Bernama, 16 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen