Donald J Trump presiden ke-47?


Hishamuddin Rais

PADA 15 Januari 2024, Donald Trump menang pada usia 77 tahun dalam pemilihan calon Parti Republikan di Iowa. Ini pemilihan pertama. Dalam sistem politik Amerika ahli-ahli parti berhak menentukan siapa calon parti mereka. Setiap negeri ahli parti akan berpeluang memilih bakal calon Presiden.

Sistem ini dianggap demokratik. Sistem ini memberi peluang ahli parti di akar umbi untuk membuat pilihan.

Tahun 2024 ini Parti Republikan mengajukan tujuh calon presiden termasuk Nikki Haley bekas wakil Amerika di PBB. Juga pendatang baru keturunan India Vivek Ramaswarmy.

Joe Biden dari Demokrat akan mempertahankan kerusi presiden. Dua sosok baru setakat ini – Marainne Williamson dan Dean Philips telah mengajukan nama masing-masing untuk calon Parti Demokrat.

Selain dari dua parti ini pemilihan tahun 2024 ini juga memunculkan tiga sosok dari Parti Bebas. Seorang intelektual berkulit hitam Cornel West, Robert F Kennedy Jr – anak buah kepada arwah John F Kennedy dan Jill Stein.

Apa yang menarik perhatian dunia kali ini ialah sosok ahli perniagaan yang juga bekas presiden ke-45 Amerika: Donald J Trump.

Apakah pada 14 November 2024 nama Trump akan tersenarai sebagai calon presiden untuk diundi pada 15 November 2024. Apakah esoknya Sabtu 16 November 2024 dunia akan menerima Trump sekali lagi sebagai presiden Amerika ke-47?

Satu dunia sedang bertanya hal ini.

Jika pemilihan presiden dilakukan minggu ini saya amat yakin – malah saya berani bertaruh – Donald Trump akan menang.

Apa yang berlaku di Iowa adalah bukti kekuatannya di mana Trump mendapat 51% undi, manakala yang lain mendapat di bawah 20%. Malah Vivek Ramaswarmy terus menarik diri dari bertanding dan memberikan sokongan kepada Trump.

Pungutan demi pungutan suara dan banci demi banci yang dijalankan oleh pelbagai media terus menunjukkan bahawa rakyat Amerika mahu Trump dilantik sekali lagi untuk menjadi Presiden.

Apakah Trump akan dipilih sekali lagi untuk bertanding?

Sabar dulu. Sosok bernama Trump in tidak mudah untuk ke Rumah Putih walaupun pada ketika ini tidak ada sosok lain yang popular seperti Trump di Amerika.

Ada projek sedang diatur dengan licik untuk memastikan Trump akan gagal.

Sebelum kita memahami siapa yang sedang berusaha untuk menggagalkan Trump mari kita fahami kenapa Trump ini popular.

Kenapa rakyat Amerika suka Trump. Mengapa pengundi akan memilih Trump. Apa dasar Trump yang menjerut hati warga Amerika. Dan siapa musuh dan seteru ketat Trump yang akan menggagalkan Trump untuk kembali kali kedua ke Rumah Putih. Amin.

Trump seorang ahli perniagaan yang berjaya. Sebagai ahli perniagaan yang kaya-raya, Trump melalui jalan gelap dan jalan terang yang dilalui oleh semua ahli perniagaan. Tunggang-langgang dan putar-belit ahli perniagaan bukan satu yang asing.

Trump bukan dari kelas elit politik Amerika seperti Kennedy atau Bush. Trump bukan lulusan Harvard atau Yale. Dia belajar di Wharton School of the University of Pennsylvania, menamatkan pengajian pada Mei 1968 dengan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang ekonomi.

Kenapa Trump disukai oleh rakyat Amerika? Siapa penyokong Trump?

Kali pertama Trump bertanding dan berjaya jadi presiden pada tahun 2016. Calon lawan ialah Hillary Clinton. Minah bekas setiausaha negara Amerika dan juga bekas first lady telah menyifatkan penyokong Trump sebagai “deplorable” – Mat Lekeh.

“Basket of deplorables” ialah kata-kata ucapan kempen 2016 yang disampaikan oleh calon Demokrat Hillary Clinton. Dia menggunakan konsep Mat Lekeh itu untuk menggambarkan “separuh” penyokong Donald Trump adalah rasis, seksis, homophobic, xenophobic, Islamophobic.

Memang benar ramai penyokong Trump memiliki pandangan ini. Sebenarnya penyokong Hillary juga menghayati pandangan yang sama. Bezanya penyokong Hillary ada kelas. Cakap berlapik. Bahasa halus. Manakala penyokong Trump tidak memiliki kelas – kasar, jujur dan terbuka.

Rata-rata Mat Lekeh penyokong Trump dari kelas bawahan. Kumpulan kulit putih dari kelas buruh dan pekerja yang selama ini tertinggal dalam gelombang menuju dan mencari Americam Dream – Mimpi Amerika – untuk berjaya dan kaya-raya.

Trump mendapat sokongan kuat dari Pak Tani Amerika yang duduk di kampung di luar bandar. Juga dari kumpulan masyarakat Hispanik. Sokongan juga datang dari gulungan konservatif kelas pertengahan yang melihat negara mereka sedang nazak bermasalah.

Golongan kelas bawahan berkulit putih melihat Trump berupaya mengubah keadaan. Penyokong Trump ini tidak melihat Washington DC sebagai wilayah yang mereka fahami. Mereka melihat elit politik dan elit ekonomi Amerika sebagai musuh.

Mereka melihat “the ruling class” sebagai musuh abadi mereka. Kelas yang menyusahkan mereka bernafas.

Kempen MAGA – Make America Great Again – amat berjaya. Slogan ini mengusik hati naluri kelas bawahan kulit putih. Kumpulan ini tidak melihat dasar dari Washington atau suara dari Rumah Putih akan dapat membantu mereka yang sedang di pukul hanyut oleh badai ekonomi.

Mereka berasa pelik kenapa Amerika memberi dana berbilion dolar kepada Ukraine walhal jalan dan jambatan depan rumah mereka hampir rahai.

Trump berkempen melaungkan: Kita akan baiki jambatan, kita akan baiki jalan – kita akan jadikan Amerika seperti satu ketika dulu.

Suara Trump ini mengingatkan mereka kembali kepada tahun 60-an di mana ekonomi Amerika menjana ekonomi dunia.

Nada dan isi kempen Trump ini menjerut hati kaum tertindas. Kaum buruh, kaum tani, peniaga kecil dan generasi muda yang tidak ada kerja menerima slogan MAGA ini. Setiap ceramah politik mereka akan melaungkan – Amerika! Amerika! Amerika!

Terselit nasionalisme di sini. Justeru untuk mereka, Trump adalah Mahadi yang selama ini mereka nanti-nantikan.

Ketika Trump di Rumah Putih dia telah secara jujur berkata “stesen CNN adalah penipu…” Trump menuduh media arus perdana memutar belitkan berita.

Trump telah menggelodak kelas bawahan kulit putih dan membawa mereka untuk jadi berani melawan elit politik dan elit ekonomi yang selama ini mendominasi Washington DC.

Trump menyifatkan Washington DC sebagai “swamps” – paya kotor yang perlu dibersihkan.
Kata-kata dan ucapan seperti ini menakutkan elit politik dan elit ekonomi di Amerika.

Semangat Make America Great Again disadur pula dengan slogan tutup sempadan dari penceroboh luar.

Amerika negara ekonomi terbesar dalam dunia masih menjadi tarikan pendatang haram dan pendatang halal. The American Dream masih bersinar untuk menjadi tarikan.

Trump dalam ucapan berkempen berkata: Pendatang haram akan dihalau keluar. Pagar akan didirikan di sempadan Mexico.

Nada dan suara anti pendatang ini mendapat sambutan hangat dari warga Amerika.

Presiden Biden dilihat loklak dan lembik dalam hal pendatang haram ini. Justeru Biden sedang menjadi ulam kepada Trump.

Kempen antipendatang haram ini cukup popular. Dengan satu isu ini Trump tidak perlu bersurah tentang dasar luar atau dasar ekonomi untuk mengaut undi.

Presiden Biden yang dilihat nyanyuk bukan saja oleh musuh politik malah dalam Parti Demokrat sendiri mereka merasa gusar dan cemas bila melihat Biden sering tersasul ketika berucap. Biden terjatuh di tangga kapal terbang. Biden hilang arah tuju di atas podium ceramah.

Keadaan Biden seperti ini menakutkan elit politik dan elit ekonomi di Washington DC. Justeru Trump wajib dihalang dari bertanding melawan Biden. Jika Trump lawan Biden maka Biden akan masuk ke dalam bakul sampah sejarah. Amin.

Projek memusnahkan Trump ini bermula pada tahun 2016 lagi. Trump yang menjadi Presiden dilihat tidak mengikut skrip yang dilakar oleh elit politik dan elit ekonomi Amerika.

Kritikan Trump terhadap NATO ketika menjadi presiden menakutkan industri senjata. Trump secara jujur mahu mengurangkan saluran dana Amerika kepada NATO. Trump mencadangkan anggota NATO perlu meningkat sumbangan mereka.

Tentang Perang Ukraine, Trump berkata: Saya kenal baik dengan Putin. Saya kenal baik dengan Zelensky. Saya akan panggil mereka berdua masuk bilik dan selesaikan masalah.

Tentang Perang Gaza, katanya: Jika saya Presiden Amerika perang ini tidak akan terjadi. Tidak akan berlaku.

Kenyataan seperti ini memberi gambaran bahawa Amerika di bawah Trump tidak memilih perang sebagai dasar luar negara. Ucapan Trump ini membawa makna Amerika perlu mengurangkan dana untuk persenjataan.

Justeru industri senjata berpendapat Trump wajib dihalang dari masuk ke Rumah Putih sekali lagi. Maka daulah terpendam – deep state – sedang berusaha sedaya upaya untuk menghalang Trump kembali ke Rumah Putih.

Ketika Trump menjadi presiden, dua kali muncuk percubaan untuk memecatnya. Trump difitnah mendapat sokongan dari Putin dan Rusia untuk menang mengalahkan Hillary. Dua kali projek pecat Trump gagal meleset.

Belum pernah terjadi dalam sejarah Amerika bekas Presiden dihadapkan dakwaan jenayah. Presiden Nixon yang licik dan jahat hanya berhadapan dengan kes politik.

Tidak dengan Trump.

Bekas Presiden Donald J Trump didakwa di Georgia berkaitan tuduhan bahawa dia cuba menumbangkan pilihan raya presiden 2020. Ini bermakna Trump kini berdepan empat kes jenayah yang berasingan.

Secara keseluruhan, Trump menghadapi 91 pertuduhan jenayah, didakwa dengan pelbagai jenayah: Cuba menumbangkan demokrasi, mempertaruhkan rahsia keselamatan negara dan memalsukan rekod perniagaan berkaitan dengan pembayaran wang senyap kepada pelakon filem porno. Amin

Semua ini adalah jalan berperlembagaan dan dilihat halal untuk memastikan Trump tidak akan disenaraikan sebagai calon presiden. Semua ini diatur dan di rancang oleh daulah terpendam dengan menggunakan sistem mahkamah.

Projek halang Trump kembali berkuasa diteruskan lagi:

Pertama, Mahkamah Agung Colorado memutuskan bahawa bekas Presiden Donald Trump tidak layak bertanding untuk jawatan lamanya di negeri itu. Kemudian, Maine membuat perintah yang sama.

Kedua-dua keputusan adalah bersejarah. Mahkamah Colorado adalah mahkamah pertama memohon larangan perlembagaan ke atas calon presiden yang jarang digunakan terhadap individu “terlibat dalam pemberontakan.”

Apa yang memeranjatkan pemerhati dan penganalisis politik, setiap kali Trump didakwa atau di bawa ke mahkamah, suhu popular Trump naik. Rakyat melihat Trump dizalimi oleh kelas pemerintah.

Pada 6 Januari 2021 beribu Mat Lekeh telah keluar berdemo dan menceroboh ke dalam Bangunan Capitol. Ini kerana mereka percaya Trump telah menang.

Pada Januari 2025 atau pada November 2024 Mat Lekeh akan keluar lagi. Jika dulu mereka di tuduh bawa senjata kali ini besar kemungkinan Mat Lekeh akan bersenjata.

Persoalan hakiki hari ini apakah ada jika Trump digagalkan dari bertanding menjadi calon presiden 2024 maka pemberontakan bersenjata akan berlaku di Amerika? Amin. – 19 Januari, 2024.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen