Laporan siasatan kebakaran kediaman Ngeh dijangka diketahui minggu ini


Laporan hasil siasatan kebakaran rumah Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham pada 10 Januari lalu dijangka siap sepenuhnya minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2024.

LAPORAN hasil siasatan kebakaran rumah Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham pada 10 Januari lalu dijangka siap sepenuhnya minggu ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata laporan itu membabitkan keputusan analisis dua bahan bukti utama iaitu ‘molotov cocktail’ yang diperoleh di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan bomba dilakukan secara menyeluruh, kita hanya menunggu pengesahan bagi menentukan bahan apa yang ditemui dalam dua bukti yang kita hantar ke makmal di Kuala Lumpur.

“Kalau ikut SOP ia memerlukan tempoh 10 hari untuk memperoleh keputusan, jadi saya jangka kemungkinan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi keputusannya akan diperoleh bagi kita lengkapkan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis amanat Pengarah Tahun 2024 di Ibu Pejabat JBPM Perak di Meru Raya di Ipoh hari ini.

Sayani berkata siasatan yang dilakukan pihak bomba adalah bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian sama ada melibatkan pembakaran atau disebabkan perbuatan khianat

“Sekiranya keputusan yang diperoleh daripada makmal menyatakan adanya unsur khianat di lokasi kejadian, maka kita akan membuat makluman kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes khianat api di kediaman Ahli Parlimen Beruas itu di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar awal pagi Rabu lepas. – Bernama, 15 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen