Parti Imran Khan dilarang bertanding pilihan raya Pakistan


Parti bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan dilarang daripada bertanding pada pilihan raya umum bulan depan. – Gambar fail EPA, 14 Januari, 2024.

MAHKAMAH Agung Pakistan melarang parti bekas perdana menteri Imran Khan daripada bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, keputusan yang dilihat memberi tamparan hebat kepada parti yang masih popular dalam kalangan rakyat itu, lapor agensi berita Jerman, DPA.

Dalam keputusan yang diumumkan sekitar tengah malam, mahkamah itu melarang parti Khan daripada menggunakan simbol parti itu iaitu kayu kriket pada kertas undi kerana gagal mengadakan pemilihan parti yang diwajibkan.

Keputusan itu bermakna ratusan calon Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) perlu bertanding sebagai calon bebas dan menggunakan simbol berbeza.

Langkah itu mungkin menyukarkan lebih 100 juta pengundi yang layak untuk memilih parti pilihan mereka pada pilihan raya umum yang dijadualkan pada 8 Februari.

Sementara itu pemimpin dan ahli PTI mengutuk keputusan itu.

“Keputusan oleh mahkamah tertinggi mencemarkan pilihan raya palsu ini dengan lebih teruk lagi,” menurut Zulfi Bukhari, pemimpin kanan PTI dan pembantu rapat bekas perdana menteri Khan dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa pilihan raya di Pakistan bulan lalu menolak kertas pencalonan Khan untuk pilihan raya umum akan datang. – Bernama, 14 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen