Sanusi beri keterangan di SPRM Putrajaya


Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dipanggil untuk memberi keterangan di SPRM Putrajaya berhubung dakwaan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan KFA.– Gambar Facebook, 11 Januari, 2024.

MENTERI Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berada kira-kira tiga jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini dipercayai bagi membantu siasatan dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Muhammad Sanusi dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM itu pada 11.37 pagi setelah tiba pada 8.30 pagi, namun gagal ditemui media yang menunggu di luar pagar premis itu.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Bernama mengesahkan SPRM mengambil keterangan Muhammad Sanusi hari ini.

Pada Selasa lepas, SPRM mengesahkan akan memanggil Muhammad Sanusi bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan KFA.

Media sebelum ini melaporkan siasatan itu dilakukan selepas SPRM menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan memperoleh projek di Kedah jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak negeri itu. 

Pada 5 Jan lepas, media melaporkan SPRM mendapat perintah tahanan reman selama tiga hari terhadap empat  individu berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun termasuk Ketua Pegawai Eksekutif KFA bagi membantu siasatan dalam kes meminta dan menerima rasuah lebih RM6 juta pada 2020.– Bernama, 11 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen