MB Kedah akan dipanggil bantu siasatan kes rasuah KFA


Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang juga presiden KFA berkata sedia memberi kerjasama jika dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung kes rasuah KFA. – Gambar Facebook, 9 Januari, 2024.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Sumber SPRM pula berkata siasatan dilakukan selepas suruhanjaya itu menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan memperoleh projek di Kedah jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak negeri itu. 

Beliau berkata berdasarkan siasatan, terdapat individu penting berjawatan tinggi dalam kerajaan negeri dan persatuan bola sepak itu berjanji akan memberikan projek pembinaan serta perkhidmatan sebagai balasan kepada kontraktor yang menyumbang dana.

“Bagaimanapun, selepas kontraktor ini menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan, mereka tidak menerima sebarang projek seperti dijanjikan individu terbabit,” katanya.

Sumber itu juga berkata kontraktor tersebut membuat laporan kepada SPRM selepas merasakan ditipu oleh individu terbabit.

Pada Jumaat lepas, media melaporkan SPRM mendapat perintah tahanan reman selama tiga hari terhadap empat  individu berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun termasuk ketua pegawai eksekutif KFA bagi membantu siasatan dalam kes meminta dan menerima rasuah lebih RM6 juta pada 2020.

Menurut sumber, wang itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.

Pihak KFA mengesahkan CEO persatuan itu Zulkifli Che Haron ditahan reman namun dibebaskan dengan jaminan SPRM setelah selesai memberi keterangan bersama tiga individu lain.

Semalam, Sanusi yang juga presiden KFA berkata beliau sedia memberi kerjasama jika dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung kes itu. – Bernama, 9 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen