Stadium Lusail bersedia perlawanan pembukaan Piala Asia


Qatar menjadi tuan rumah Piala Asia buat kali ketiga selepas kejayaan menganjurkan kejohanan itu pada 1988 dan 2011. – Gambar AFP, 10 Januari, 2024.

STADIUM ikonik Qatar, Stadium Lusail sedang bersiap sedia untuk menyambut ketibaan peminat bola sepak pada Jumaat untuk perlawanan pembukaan Piala Asia AFC Qatar 2023.

Perlawanan pembukaan antara Qatar, juara bertahan yang juga negara tuan rumah menentang pasukan kebangsaan Lubnan akan berlangsung pada 7 malam (waktu tempatan).

Upacara pembukaan Piala Asia AFC Qatar 2023 pula bermula pada 5 petang, lapor Qatar News Agency (QNA).

Qatar menjadi tuan rumah Piala Asia buat kali ketiga selepas kejayaan menganjurkan kejohanan itu pada 1988 dan 2011.

Dalam edisi ke-18 acara benua itu, sebanyak 24 pasukan terbaik di Asia akan bersaing untuk merebut mahkota kejuaraan Piala Asia.

Kejohanan itu akan merangkumi 51 perlawanan, yang diadakan di sembilan stadium.

Stadium Lusail dengan kapasiti 80,000 tempat duduk, menjadi tuan rumah perlawanan akhir Piala Dunia Fifa Qatar 2022.

Selaku juara bertahan, Qatar berharap untuk mempertahankan kejuaraan Piala Asia pada edisi kali ini di tempat sendiri selain di hadapan penyokong sendiri selepas bergelar juara pada tahun 2019. – Bernama, 10 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen