Gencatan senjata di Gaza mula hari ini, kata Qatar


Gencatan senajat empat hari di Gaza sepatutnya bermula semalam tetapi ditangguhkan pada saat akhir. – Gambar AFP, 24 November, 2023.

GENCATAN senjata sementara selama empat hari antara Israel dan Hamas bermula hari ini berkuat kuasa 7 pagi waktu tempatan, disusuli pertukaran tebusan dan tahanan beberapa jam kemudian, kata kerajaan Qatar yang bertindak sebagai perunding.

Perjanjian itu yang diusahakan Qatar dengan bantuan Mesir dan Amerika Syarikat itu sepatutnya bermula semalam tetapi ditangguhkan pada saat akhir.

“Gencatan akan bermula pada 7 pagi (0500 GMT) pada Jumaat dan kumpulan pertama tebusan awam akan diserahkan pada kira-kira jam 4 petang (1400 GMT),” menurut jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari semalam.

Ansari pada sidang akhbar di Doha berkata seramai 13 tebusan Hamas terdiri daripada wanita dan kanak-kanak dijangka akan dibebaskan hari ini.

Qatar juga menjangkakan tahanan Palestin di penjara Israel akan dibebaskan hari ini, tambahnya.

Hamas pada Rabu memaklumkan pihaknya dan Israel setuju untuk gencatan senjata selama empat hari selepas perang sejak 7 Oktober lalu.

Mengikut perjanjian diusahakan Qatar itu, Hamas bersetuju untuk membebaskan 50 wanita dan kanak-kanak warga Israel yang ditahan di Gaza sebagai pertukaran bagi 150 tahanan Palestin di penjara Israel.

“Dalam tempoh empat hari ini, maklumat akan dikumpul mengenai baki tebusan bagi mempertimbangkan kemungkinan lebih banyak pembebasan sekali gus melanjutkan tempoh gencatan senjata,” kata Ansari. – AFP, 24 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen