Tsunami 3 meter di loji nuklear Ishikawa selepas gempa kuat 1 Januari


Keadaan kediaman di bandar Togi, Semenanjung Noto, Jepun, selepas kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda wilayah Ishikawa di pulau utama Honshu, pada Tahun Baru. – Gambar EPA, 10 Januari, 2024.

TSUNAMI setinggi kira-kira 3 meter dicatatkan di loji kuasa nuklear (NPP) Shika di wilayah Ishikawa, Jepun berikutan gempa bumi kuat yang melanda wilayah itu pada Hari Tahun Baharu, Isnin lepas, menurut pengendali loji itu, lapor Xinhua.

Hokuriku Electric Power Company pada Selasa berkata tsunami sampai di kemudahan itu pada 5.45 petang waktu tempatan, kira-kira 90 minit selepas beberapa siri gempa bumi dengan terbesar berukuran 7.6 magnitud melanda wilayah itu dan sekitarnya.

Hokuriku Electric berkata gelombang itu tidak menyebabkan masalah keselamatan kepada NPP itu kerana ia dibina kira-kira 11 meter dari paras laut dan mempunyai tembok laut setinggi 4 meter.

Syarikat utiliti itu berkata, bagaimanapun, ketinggian tsunami itu tidak diketahui dengan segera kerana penghantaran data daripada peranti pengukur yang diletakkan di dasar laut berhenti daripada berfungsi selepas gempa bumi.

Syarikat tenaga itu mengeluarkan hasil analisis data dari pengukur aras air berdekatan dengan pengambilan air laut loji Shika, serta pengukur gelombang berdekatan dermaga loji.

Sementara itu, Hokuriku Electric menemui kerosakan pada beberapa elemen peralatan dalam sebuah pencawang dan talian penghantaran kuasa, tetapi kerosakan itu tidak memberi kesan kepada operasi loji itu.

Kedua-dua reaktor No. 1 dan 2 di loji Shika telah lama dimatikan sebelum gempa bumi berlaku. – Bernama, 10 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen