Laki-laki yang belum tertangkap


Faisal Tehrani

Filem ini masuk panggung pada 19 Oktober 2023 tetapi kurang disedari, dan hanya menjadi heboh sejak akhir-akhir ini. – Gambar Facebook, 9 Januari, 2024.

SEBUAH dokumentari “Man on the Run” (2023) arahan dan kerjaan Cassius Michael Kim kini mulai beroleh perhatian sebaik sahaja ditayangkan di platform berbayar Netflix.

Doku-filem ini berkisarkan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kemungkinan penglibatan bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak serta Jho Low, sang saudagar atas angin dan si “crazy rich Asian”.

Filem ini sebetulnya telah pun masuk panggung pada 19 Oktober 2023 tetapi kurang disedari, dan hanya menjadi heboh sejak akhir-akhir ini.

Saya tidak akan membincangkan inti kandungan benar atau tidak paparan dalam Man on the Run.

Sebagai pengkritik filem, saya hanya akan meneliti keindahan atau kehodohan sesuatu karya itu. Dalam konteks Man on the Run saya akan menilainya berasaskan kritikan seni.

Ada markah munasabah perlu diberi untuk Man on the Run sebagai dokumentari yang baik. Itu akan saya hurai lanjut.

Akan tetapi terdapat juga sebab untuk Man on the Run diberi hanya markah cukup makan.

Ini sebahagian besarnya kerana pembikin doku ini menggunakan paksi naratif Malaysia akhirnya “diselamatkan oleh orang putih (baca: Amerika)” untuk pergerakan karyanya.

Hakikat ada ramai hero besar di sebalik pendedahan skandal 1MDB kurang disoroti.

Peranan Abu Kassim Mohamed (ketua pengarah SPRM); Nor Salwani iaitu pegawai Jabatan Audit Negara; Gani Patail (mantan peguam negara) dan ramai lagi malangnya hanya diciri dan diceritakan sepintas lalu malah tidak berbekas.

Lebih hampa, wajah-wajah awam rakyat Malaysia diperlihatkan sebagai kurang peduli sedangkan ia tidak semestinya sedemikian.

Selain itu, di bahagian tertentu doku-filem ini menggunakan rakaman mentah (footage) yang kadang-kala main bedal untuk disisipkan.

Di bahagian tertentu latar diambil itu tidak dapat menggambarkan sensasi sebenar doku ini iaitu “penyelewengan” dan “penipuan terbesar” dalam sejarah kewangan dan finansial dunia.

Apa pun Man on the Run juga wajar diangkat sebagai dokumentari yang baik kerana ia memenuhi banyak juga kriteria sebagai kerja seni yang bagus.

Pertamanya, Man on the Run bukan sekadar topik 1MDB tetapi pergi lebih jauh, memberikan kita “cerita”.

Ia membawa kita kepada kisah antara lain peranan dan nasib eksekutif Petrosaudi, antara pendedah rahsia kegemparan 1MDB tersebut, Xavier Justo yang teraniaya dan dipenjarakan di Thailand.

Ia membawa kita kepada hubungan beliau dengan Clare Rewcastle Brown (pendiri Sarawak Report) dan Ho Kay Tat (CEO akhbar The Edge). Dalam hal ini ia memenuhi kriteria dokumentari yang baik.

Kedua, sebuah dokumentari yang baik akan memberikan kita akses “sebagai kejutan”.

Dalam erti kata lain, dalam doku-filem yang berkesan, pengarah menyuguhkan kita pertanyaan “whoa bagaimana dia beroleh sesi wawancara dengan si anu dan si polan?”

Ia seboleh-bolehnya memberikan kita suara sentral dalam kisah atau topik pilihannya.

Dalam Man on the Run, antara yang diketengahkan adalah Najib selaku perdana menteri keenam.

Tentu mereka yang lain adalah Clare Rewcastle Brown, Ho Kay Tat, Bradley Hope, Xavier Andre Justo, Tony Pua, dan Tommy Thomas.

Pengarah juga memberikan kita Anwar Ibrahim yang ketika diinterbiu masih selaku ketua pembangkang.

Pun, belum cukup unsur “wow” untuk Man on the Run memandangkan ia tidak dapat memberikan kita “kaki kopak wang 1MDB” iaitu antara lain Leonardo DiCaprio, Jamie Foxx, Paris Hilton, dan Kim Kardashian untuk memerikan sisi mereka apabila berpaut erat dengan Jho Low.

Ketiganya, dalam sebuah dokumentari yang baik; kebiasaannya ia menunjukkan bagaimana pula mereka yang terlibat itu berubah dari satu poin ke poin lainnya.

Dalam Man on the Run kita melihat perubahan nasib Justo dan kelegaannya setelah bebas dari penjara.

Pun ada banyak perubahan lain yang gagal dikraf dengan baik. Misalnya bagaimana rakyat Malaysia, atau pengundi pada Pilihan Raya Umum 2018 membuat kejutan.

Hanya ada gambaran kecil gerakan Bersih.

Atau gagal ditunjukkan juga bagaimana perubahan Najib di puncak kuasa dan bagaimana pula ia tergelongsor ke bawah.

Sisi itu tidak dapat dibuktikan walaupun ada kesempatan itu di tengah wawancara dengan Najib.

Malah misteri sebenar Jho Low tidak dapat ditujah dengan baik, membuatkan kita masih tertanya-tanya dan bukannya meluat.

Pun, keempatnya, dokumentari ini mampu mengheret khalayak untuk menonton ke akhir.

Paling tidak, untuk memberikan kita renungan nasib Najib agar dijadikan sempadan.

Ia tidak memberikan semuanya dari awal, dan menaburnya dengan rapi.

Boleh dikatakan Man on the Run membawakan kita 1MDB secara kronologi dan debar debur mereka yang mendedahkannya oleh turun naik iklim politik negara.

Kelima, seperti yang saya nyatakan lebih awal; dokumentari masih sebuah cerita meskipun ada subjeknya.

Untuk itu akan ada mod penceritaan. Pembikin doku boleh memilih samada untuk menawarkan gaya puitika, ekspositori, penyertaan, refleksi, performatif atau berbentuk observasi.

Dalam hal ini Man on the Run cuba memain-main pelbagai mod penceritaan. Hal ini sebetulnya berisiko memandangkan ia akan serasa bercempera.

Alangkah baiknya, Cassius Michael Kim tegas dengan kaedah observasi.

Ia akan memberikan khalayak cangkuk yang kuat. Sebagai rakyat Malaysia, saya misalnya tabah menonton kerana hubungan patriotik dan sejarah yang kuat dengan topik doku ini.

Akan tetapi, saya tidak fikir audien dari negara lain akan merasai keresahan kita seperti sepatutnya.

Keenam, dokumentari adalah sebuah filem, dan ia wajar memberikan kita sinematografi yang menawan.

Doku tidak boleh mengabaikan aspek estetika ini. Akan tetapi mood drama kewangan yang patut mencengangkan itu kurang dirasai. Clare Rewcastle Brown dan Ho Kay Tat misalnya diletakkan di hadapan bangunan di tengah London tanpa maksud sebenar.

Apa yang dapat dihubungkan dengan Clare Rewcastle Brown melintas jalanraya di remang senja? Atau Ho Kay Tat di hadapan KLCC, dan Tony Pua di jalanraya ibu kota.

Ia tidak memberikan kita pengertian sebenar.

Man on the Run cuba memberikan jukstaposisi hamburan mewah Jho Low dengan kemiskinan golongan terbawah tetapi ia terkesamping apabila “rakyat” diberikan gambaran sebagai tidak atau gagal memberikan perlawanan sebenar terhadap pemerasan kekayaan dan penyelewengan.

Ia memberi kesan rakyat Malaysia, sebahagian besarnya “bodoh”.

Ketujuh, sebuah dokumentari yang bagus akan mendorong tindakan atau gerakan.

Ia menimbulkan aksi iaitu kesan untuk melakukan sesuatu. Man on the Run hanya mencapai sebahagian dari itu.

Mungkin dorongan sebenarnya adalah agar rakyat Malaysia berasa terhina dan menekankan supaya Jho Low segera dihadapkan ke muka pengadilan.

Atau kesan mual dan muak kita kepada selebriti Hollywood yang berparti atas wang negara.

Tetapi perasaan kita bercampur baur seusai menonton Man on the Run.

Ia berusaha memomokkan beberapa watak sebenar, khusus dengan kartunisasi atau kesan animasi pada wajah mereka namun demikian ia tidak meninggalkan emosi mendalam.

Di sebalik kekurangan dan kelebihannya, Man on the Run menjadi pendahulu dalam merakam sejarah 1MDB yang penting ini.

Saya tidak tahu apakah sukatan mata pelajaran sejarah kita akan segera berubah dan mensisipkan peristiwa signifikan ini dalam masa terdekat.

Entah bila gamaknya. Man on the Run mungkin boleh jadi pemangkin, di mana kelab seni filem di sekolah atau IPT boleh menayangkan.

Seingat saya ia agak adil dan tidak memburukkan Umno (sebagai komponen dalam kerajaan perpaduan).

Ala kulli hal, dokumentari ini penting kerana ia cuba membuktikan Melayu dan Cina boleh bekerjasama erat, Najib serta Jho Low mewakili kedua-dua ras utama di Malaysia.

Yang melarat tetaplah rakyat pelbagai bangsa yang dipaparkan naif dalam filem ini. Tidak ada agama atau bangsa tertentu yang terancam.

Man on the Run sedikit sebanyak memberitahukan khalayak penonton Malaysia betapa apa bangsa pun malangnya kita sama-sama dirompak. – 9 Januari, 2024.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen