Peguam Najib mahu dokumentari 1MDB di Netflix dihentikan


Najib Razak mendakwa dokumentari 'Man On The Run' menghina dan subjudis terhadap perbicaraan rasuah 1MDB yang sedang berlangsung membabitkan dirinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2024.

PEGUAM Najib Razak mengadu yang dokumentari mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bertajuk “Man on The Run”, yang sedang ditayangkan di Netflix, menjejaskan bekas perdana menteri itu dalam perbicaraan 1MDB membabitkan penyelewengan bernilai RM2.27 bilion.

Peguam utama Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah yang dokumentari itu adalah penghinaan keterlaluan.

Shafee memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang Najib akan memfailkan permohonan menghina mahkamah dan saman fitnah terhadap bekas peguam negara (AG) Tommy Thomas dan pengasas Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown, yang turut ditemu bual dalam dokumentari itu.

“Program itu sangat subjudis dan menghina,” kata Shafee kepada Sequerah.

Beliau membaca petikan daripada dokumentari 1MDB, seperti kenyataan individu yang ditemu bual mengenai Najib dan Low Taek Jho yang kini menjadi buruan berhubung skandal 1MDB, yang didakwanya subjudis kepada kes itu.

Shafee menggesa Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berbincang dengan AG semasa serta Kementerian Komunikasi, Digital dan Dalam Negeri agar program itu dibatalkan.

Ahmad memberitahu mahkamah beliau masih belum menonton program itu.

Sequerah kemudian mengarahkan prosiding perbicaraan diteruskan dengan keterangan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Dokumentari yang diarah dan diterbitkan bersama oleh Cassius Michael Kim itu memfokuskan pada skandal 1MDB dan peranan dimainkan Jho Low terhadap aliran keluar dana daripada entiti itu.

Dokumentari itu ditayangkan di pawagam terpilih di Malaysia mulai 19 Oktober 2023. – 8 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen