SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan supaya menubuhkan “pasukan petugas khas” bagi menyiasat isu pemerdagangan manusia ke negara ini.
Gesaan itu dibuat berikutan penahanan 171 pekerja Bangladesh yang mendakwa mereka dieksploitasi dan diperdagangkan ke negara ini dengan janji palsu pekerjaan meskipun sudah membayar fi pengambilan yang mahal.
Sebelum ditahan, mereka dilapor berarak ke balai polis Bayu Damai di Johor, bagi membuat laporan selepas mendapati mereka ditipu oleh ejen yang menjanjikan pekerjaan.
“Keadaan terdesak mendorong mereka untuk membuat laporan meskipun menyedari risiko penangkapan, penahanan dan pengusiran,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.
Suhakam berkata fungsi utama pasukan petugas itu adalah untuk memudahkan penyiasatan yang teliti dan telus, mengenal pasti kelemahan dan paling penting mengesyorkan hukuman terhadap individu terlibat dalam proses pemerdagangan dan eksploitasi manusia ini.
“Suhakam berpandangan semua mangsa ini berada dalam keadaan menyayat hati dan tindakan membuat laporan polis pastinya adalah langkah terakhir untuk pulang ke negara asal mereka meskipun berdepan penderitaan peribadi serta mengalami kerugian yang cukup besar.
“Individu ini ditipu dan memasuki Malaysia dengan pas imigresen yang sah menunjukkan kemungkinan besar kelulusan penguatkuasaan yang longgar dan kemungkinan besar amalan rasuah dalam agensi berkaitan,” tambahnya.
Selain pasukan petugas itu, Suhakam turut menggesa kerajaan menyegerakan pelaksanaan syor yang disenaraikan dalam “Laporan Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing” yang merangkumi isu amalan tidak beretika, tidak sihat dan tidak adil dalam pengambilan pekerja asing. pekerja asing.
“Sistem pemantauan pekerja asing juga harus dipertingkatkan bagi memastikan keadaan kerja yang adil dan selamat untuk pekerja asing, bersama-sama dengan kerjasama dengan negara asal untuk mewujudkan laluan penghijrahan yang selamat,” katanya.
Menyeru semua agensi berkaitan untuk segera menangani isu-isu lama pengurusan pekerja asing di Malaysia, suruhanjaya itu berkata negara harus berusaha ke arah pembaikan menyeluruh dari segi dasar, proses, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengambilan dan pengurusan pekerja asing serta mewujudkan sebuah kementerian khusus bagi menguruskan semua hal ehwal pekerja asing.
Menurut Suhakam, suruhanjaya itu sebelum ini sudah mengeluarkan kenyataan mengenai perhambaan moden dan pemerdagangan manusia di sebalik proses pengambilan pekerja asing secara sah yang terbukti tidak berperikemanusiaan, penderaan serta mengeksploitasi pendatang.
“Pendirian Suhakam dalam isu pekerja migran sentiasa berasaskan kepada prinsip keadilan, termasuk mendidik orang ramai dan industri mengenai akauntabiliti dalam amalan perniagaan dan menghormati hak asasi manusia.
“Oleh itu, kami memohon dan menggesa kerajaan untuk serius menangani perkara ini.” – 29 Disember, 2023.
Komen