SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bimbang Bajet 2024 tidak cukup menangani beberapa isu utama.
Mereka berkata walaupun rancangan perbelanjaan itu bertujuan untuk mengukuhkan ekonomi negara, ia juga bagi mendapatkan dana untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh, mengukuhkan perlindungan sosial untuk warga emas, meningkatkan akses kepada pendidikan serta meningkatkan peruntukan untuk orang kurang upaya.
“Namun begitu Suhakam bimbang sama ada bajet itu dapat menangani impak berterusan Covid-19, peningkatan penduduk miskin bandar, pengurangan kelas pertengahan dan peningkatan kos hidup,” katanya dalam satu kenyataan.
Suhakam berkata bajet negara adalah dokumen dasar ekonomi kerajaan yang paling penting dan tunjang kepada realisasi hak asasi manusia.
“Ia sepatutnya mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pertumbuhan ekonomi inklusif dan keadilan sosial.
“Suhakam menjangkakan bajet itu dilaksanakan dan diperuntukkan secara baik dengan cara yang menghormati, melindungi dan memenuhi kenikmatan hak asasi manusia semua orang tanpa meninggalkan sesiapa pun,” katanya.
Mereka juga berharap untuk terlibat dalam proses penggubalan bajet pada tahun-tahun akan datang.
“Tahap penglibatan dalam pelan tindakan kewangan negara ini menyokong perjuangan untuk keadilan sosial, memperkasa ekonomi sivil dan memberi penekanan yang ketara kepada strategi pertumbuhan inklusif,” katanya.
Suhakam turut memuji bajet yang memberi penekanan kuat kepada pelbagai aspek hak asasi manusia antara lain alam sekitar, pendidikan, kesihatan, undang-undang dan pembaharuan undang-undang, keselamatan makanan, pekerjaan dan sokongan masyarakat serta keselamatan sosial.
“Sambil menyasarkan untuk mengukuhkan ekonomi negara, Bajet 2024 juga berusaha untuk memperkasakan beberapa kumpulan yang terdedah dengan memasukkan peruntukan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh, mengukuhkan liputan sistem perlindungan yang melibatkan warga emas, meningkatkan akses kanak-kanak kepada pendidikan dan meningkatkan peruntukan peralatan serta kemudahan sokongan keperluan khas untuk orang kurang upaya,” katanya.
Suhakam turut memuji inisiatif Kementerian Kewangan menganjurkan ‘Jelajah Belanjawan 2024.’
Lawatan itu yang berlangsung dari 21 Ogos hingga 22 September 2023 melibatkan banyak negeri dan termasuk sesi penglibatan yang berharga dengan sektor industri penting, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti tempatan. – 15 Oktober, 2023.
Komen