RAKYAT Bantah Penghilangan Paksa (CAGED) hari ini menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan tindakan yang telah diambil terhadap mereka yang terlibat dalam kes kehilangan paksa Pastor Raymond Koh Keng Joo dan aktivis Perlis Amri Che Mat.
Kumpulan hak asasi manusia itu juga menuntut kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengesan Koh dan Amri yang disyaki diculik pasukan Cawangan Khas Bukit Aman, seperti yang dirumuskan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada 2019.
“Siasat setiap pegawai (polis) yang masih berkhidmat atau telah bersara, dan dakwa atas tuduhan jenayah penculikan.
“Juga bekerjasama dengan keluarga, bukan menentang mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan menjelang Hari Antarabangsa Mangsa Kehilangan Paksa esok.
Pada 3 April 2019, Suhakam kesimpulan bahawa dua individu Amri dan Koh, yang masing-masing hilang pada pada 2016 dan 2017, adalah mangsa kehilangan paksa. Kesimpulan itu dibuat hasil inkuiri awam terhadap kehilangan dua individu berkenaan yang bermula Oktober 2017.
Panel inkuri merumuskan polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa Amri dan Koh.
CAGED selain itu mengkritik Jabatan Peguam Negara kerana menafikan hak isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin untuk mendapatkan laporan mengenai kehilangan suaminya.
Pada 9 Mei lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Norhayati bagi menghapuskan klasifikasi Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 berhubung laporan kehilangan suaminya pada 24 November 2016.
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh memerintahkan laporan tersebut dikeluarkan kepada Norhayati dalam tempoh 30 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada Jun membenarkan permohonan kerajaan untuk menggantung perintah tersebut. Rayuan difailkan pada 23 Mei. – 29 Ogos 2023.
Komen