Pemandu teksi Brussels bantah peperiksaan bahasa Belanda


Pihak berkuasa Brussels mewajibkan pemandu teksi untuk lulus peperiksaan bahasa Belanda mulai Julai 2024. – Gambar AFP, 29 Disember, 2023.

PEMANDU teksi yang berkhidmat di Lapangan Terbang Brussels akan mengadakan protes pada Jumaat bagi membantah cadangan kerajaan yang mewajibkan mereka lulus peperiksaan bahasa Belanda mulai Julai 2024, Sputnik memetik laporan akhbar Belgium, Le Soir.

Pemandu teksi terbabit dengan kerjasama tiga kesatuan akan menangguhkan perkhidmatan selama dua jam setengah pada Jumaat.

Majoriti penduduk Brussels bertutur dalam bahasa Perancis tetapi lapangan terbang itu terletak di wilayah Zaventem dalam sempadan pentadbiran wilayah Flemish yang didominasi oleh penutur berbahasa Belanda.

Pihak berkuasa wilayah terbabit mewajibkan pemandu teksi untuk lulus peperiksaan bahasa Belanda mulai Julai 2024.

Mereka berdepan kemungkinan permit bekerja tidak dibaharui jika gagal peperiksaaan lisan dan bertulis.

Lebih 70% pemandu teksi bimbang mereka gagal dalam ujian dan akan kehilangan pekerjaan.

Pihak berkuasa tempatan percaya pengetahuan bahasa Belanda adalah penting untuk berurusan dengan pelanggan dan menjadikan perkhidmatan teksi lebih menarik kepada penduduk tempatan. – Bernama, 29 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen