Rusuhan di Brussel selepas Maghribi tewaskan Belgium


Polis anti rusuhan dikerahkan ke Brussel bagi mengelakkan rusuhan menukar ke bahagian lain.– Gambar Youtube, 28 November, 2022.

POLIS menggunakan meriam air dan gas pemedih mata selepas diserang penyokong bola sepak yang merusuh di tengah Brussels pada Ahad berikutan kemenangan mengejut 2-0 Maghribi ke atas Belgium pada kejohanan  Piala Dunia di Qatar.

Berpuluh-puluh perusuh bertindak memecahkan tingkap kedai, membaling bunga api dan membakar kenderaan.

Polis berkata, 11 orang telah ditahan.

Malah sebelum perlawanan berakhir, “berpuluh-puluh orang, termasuk beberapa yang memakai hoodie, cuba mencetuskan provokasi dengan polis, yang menjejaskan keselamatan awam,” kata polis Brussels dalam satu kenyataan.

Seorang jurucakap berkata beberapa perusuh bersenjatakan kayu dan seorang wartawan “cedera di muka akibat terkena bunga api”.

Kira-kira seratus anggota polis telah dikerah manakala penduduk diberi amaran untuk mengelak kawasan tertentu di pusat bandar. Stesen metro ditutup dan jalan ditutup untuk mengehadkan penyebaran keganasan.

Sebuah helikopter pengawasan terbang melintasi bandar itu sebelum situasi dipulihkan pada kira-kira jam 7:00 malam. Seorang wartawan AFP melihat penunjuk perasaan membakar sebuah kereta, tong sampah dan beberapa skuter elektrik.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya insiden petang ini. Polis telah pun campur tangan dengan tegas. Oleh itu, saya menasihatkan agar peminat tidak datang ke pusat bandar. Polis melakukan semua yang mereka boleh untuk menjaga ketenteraman awam,” kata datuk bandar Brussels, Philippe Close menerusi Twitter.

“Saya telah mengarahkan polis untuk melakukan tangkapan terhadap perusuh.” – AFP, 28 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen