PERBICARAAN 10 individu yang dituduh terlibat dalam serangan bom di Brussels yang mengorbankan 32 nyawa pada 2016 akan bermula pada Oktober tahun depan, kata mahkamah Belgium pada Rabu.
Enam daripada suspek, termasuk warga Perancis-Maghribi Salah Abdeslam, sudah pun dibicarakan di Perancis berhubung serangan Paris pada November 2015.
Hakim Mahkamah Rayuan Brussels Laurence Massart mengumumkan perbicaraan akan bermula jam 9 pagi pada 10 Oktober 2022, tetapi tidak menyatakan tempohnya.
Pejabat pendakwa persekutuan sebelum ini berkata ia mungkin berlanjutan sehingga musim panas 2023.
Kira-kira 1,000 pihak awam, ahli keluarga mangsa, atau mereka yang terjejas akibat serangan itu dijangka menuntut pampasan.
Defendan akan berdepan tuduhan “pembunuhan yang dilakukan dalam konteks pengganas”.
Pada 22 Mac 2016, dua individu meletupkan diri di lapangan terbang antarabangsa Brussels dan individu ketiga di stesen Metro yang sesak di Brussels.
Penyiasat mengaitkan kumpulan yang melakukan serangan di Belgium dengan serangan awal di Paris pada November 2015, yang membunuh 130 orang.
Abdeslam adalah yang paling terkenal di antara suspek, didakwa sebagai satu-satunya ahli kumpulan yang terselamat dan terlibat secara langsung dalam serangan Paris, ditahan selepas berbalas tembakan di Brussels.
Kumpulan militin Isis mengaku bertanggungjawab atas kedua-dua serangan di Brussels dan Paris.
Hanya empat daripada 10 defendan di Brussels tidak didakwa berhubung serangan di Paris. Mereka disyaki memberikan sokongan logistik kepada penyerang utama yang disyaki di Brussels.
Perbicaraan itu akan menjadi yang terbesar dalam sejarah Belgium, diadakan di mahkamah berkeselamatan tinggi yang dibina khas di bekas ibu pejabat Nato.
Massart berkata perbicaraan itu tidak boleh diadakan di mahkamah biasa Brussels kerana “kerana sifat luar biasa perbicaraan”.
Perbicaraan awal dijadualkan pada 12 September tahun depan bagi menyusun senarai saksi. – AFP, 9 Disember, 2021.
Komen