Yahudi anti-Zionis


Hishamuddin Rais

Generasi muda Yahudi kini telah berjaya membebaskan diri mereka dari politik Zionis. – Gambar EPA, 22 Disember, 2023.

ADALAH silap untuk mentakrifkan semua Yahudi itu berfahaman Zionis. Tidak. Ini tidak benar. Pandangan ini salah dan boleh membawa mudarat. Malah pandangan sebegini berupaya mengusutkan lagi perjuangan Arab Palestin untuk membebaskan diri dari dijajah oleh Israel.

Perjuangan Palestin bukan perjuangan agama Islam menentang agama Judaisme. Perjuangan rakyat Palestin ialah gerakan membebaskan diri dari penjajahan Israel. Negara Palestin diduduki dan dijajah oleh Bani Yahudi.

Israel nama negeri dan wilayah baru wujud semenjak 1948. Bani Yahudi berasal dari suku kaum Semit. Arab Palestin juga dari suku kaum yang sama. Judaisme ialah agama. Kitab suci Judaisme ialah Taurat.

Taurat sama seperti kitab Injil untuk penganut Kristian. Sama seperti al-Quran untuk penganut agama Islam.

Zionisme adalah ideologi kebangsaan Israel. Kaum Zionis percaya Judaisme adalah kewarganegaraan dan juga agama. Asas Zionisme ialah Bani Yahudi berhak mendapat negeri mereka sendiri di tanah air nenek moyang mereka di Israel. Sama seperti orang Perancis berhak mendapat Perancis atau orang Cina sepatutnya memiliki China. Itulah yang membawa orang Yahudi dari seluruh dunia untuk kembali ke Israel.

Zionisme moden yang membina keberahian Yahudi untuk “kembali ke Zion” bermula pada abad ke-19. Ini ketika semangat nasionalisme mula meningkat di Eropah.

Theodor Herzl seorang wartawan Yahudi dari Austria adalah orang pertama yang mengajukan nasionalisme Yahudi. Gerakan Zionis ini menjadi gerakan antarabangsa sekitar 1896.

Jurusalem atau Baitulmaqdis yang terletak di Tebing Barat adalah wilayah suci untuk tiga agama – Judaisme, Kristian dan Islam.

Palestin adalah tanah jajahan Inggeris sesudah Empayar Ottoman runtuh. Pada 1917, gerakan Zionis telah berjaya melobi kerajaan Inggeris untuk menerima Deklarasi Balfour.

Deklarasi Balfour ialah kenyataan umum yang dikeluarkan oleh kerajaan British pada 1917 semasa Perang Dunia Pertama. Deklarasi ini mengumumkan sokongannya terhadap penubuhan “rumah negara untuk orang Yahudi” di Palestin.

Ketika ini Palestin menjadi wilayah jajahan kerajaan Uthmaniyyah. Majoriti penduduk di wilayah ini adalah Arab Palestin. Pada ketika itu ada Yahudi menetap di Palestin. Arab Palestin hidup bersama minoriti Bani Yahudi. Tidak ada masalah.

Pembunuhan berjuta-juta Yahudi oleh Nazi Hitler dalam Perang Dunia Kedua telah digunakan dengan bijak dan tersusun oleh gerakan Zionis. Kaum Zionis berhujah tentang betapa perlunya Bani Yahudi memiliki negeri sendiri.

Pada 14 Mei 1948, David Ben-Gurion, ketua Agensi Yahudi mengisytiharkan penubuhan Negara Israel. Presiden Amerika Syarikat Harry S Truman mengiktiraf negara baharu itu pada hari yang sama.

Maka pada 15 Mei 1948, Nakba atau Malapetaka menimpa Palestin. Dari tarikh ini penentangan bermula. Penentangan utama dari warga Palestin dan negara Arab.

Projek Zionis Israel ini juga ditentang dan ditolak oleh beberapa sosok dan kumpulan Bani Yahudi.

Pemikir dan intelektual Yahudi dari Albert Einstein hingga ke Noam Chomsky adalah contoh sosok yang menolak kewujudan Israel.

Pada 1952, perdana menteri pertama Israel Ben Gurion telah melamar Albert Einstein untuk menjadi presiden pertama Israel. Ini telah ditolak

Sejarah telah merakamkan bagaimana Israel telah diwujudkan melalui keganasan. Sila baca surat Albert Einstein ini:

Yang berhormat,

Apabila malapetaka yang nyata dan terakhir akan menimpa kita di Palestin, yang pertama bertanggungjawab ke atasnya ialah British dan yang kedua bertanggungjawab ke kita ialah organisasi pengganas yang wujud daripada barisan kita sendiri. Saya tidak sanggup melihat sesiapa yang dikaitkan dengan orang yang sesat dan penjenayah itu.

Yang ikhlas,
Albert Einstein.

Hari ini intelektual tersohor Noam Chomsky adalah sosok yang paling terkenal dan paling jelas menentang dan mengkritik Israel. Chomsky berasal dari keluarga imigran Yahudi dari Rusia. Pernah menjawat kerusi menjadi Profesor Linguistik di MIT – The Massachusetts Institute of Technology.

Pakar linguistik terkenal di dunia ini adalah sosok yang sering menjadi pengkritik dasar luar Amerika. Noam Chomsky bercakap di hadapan kira-kira 500 orang di Boston University. Chomsky mengecam apa yang beliau panggil “dasar apartheid yang semakin meningkat” di Israel.

Mengikut pandangan Chomsky dasar apartheid yang diamalkan oleh Israel ini lebih hodoh dari yang diamalkan oleh rejim kulit putih Afrika Selatan.

Chomsky juga menggambarkan Amerika sebagai “Kepala Mafia” ( Dipungut dari laman portal BU Today 3 Mac 2010).

Hari ini Amerika Syarikat telah menjadi salah satu negara penyokong dan pemberi dana untuk pembangunan Israel sebagai sebuah negara bangsa di dunia pasca-70-an. Berbilion dolar diberi pada Israel untuk membeli senjata. Untuk mengukuhkan keupayaan negara Israel.

Mengikut pandangan Chomsky, Perang Gaza yang sedang berjalan sekarang ini akan berupaya membuka perang serantau dengan aktor negara lain seperti Hezbollah di Lubnan dan juga Yaman dan Iran.

Perang berterusan. Gaza terus dibom.

Mengikut statistik 2022, terdapat anggaran 1.6 juta Yahudi yang menjadi penghuni kota New York. Ini jumlah terbesar sesudah Tel Aviv dan Jerusalem.

Pada 28 Oktober 2023 yang lalu beribu-ribu Bani Yahudi dari New York telah turun berdemo membantah serangan Israel ke atas Gaza. Mereka mahu gencatan senjata dijalankan.

Slogan Bani Yahudi ini ialah Not In Our Name – Jangan Gunakan Nama Kami. Bani Yahudi di New York, di Amerika, di London atau di Melbourne semuanya menggunakan slogan ini. Mereka tidak mahu nama Yahudi digunakan untuk mengebom Gaza.

Jelas Bani Yahudi ini memisahkan diri mereka dari projek Zionis dan menentang dasar apartheid amalan Israel.

Di New York, Bani Yahudi penunjuk perasaan ini telah menawan Central Station New York. Perjalanan kereta api di New York terganggu. Akhirnya NYPD – Polis New York telah menangkap 200 orang penunjuk perasaan.

Rata-rata yang ditangkap oleh NYPD itu adalah anak muda Yahudi. Ini memberi gambaran bahawa projek Zionis ini tidak lagi mencengkam generasi muda. Holocaust dan Nazi tidak lagi berjaya digunakan untuk mengugut mereka.

Generasi muda Yahudi kini telah berjaya membebaskan diri mereka dari politik Zionis. Terima kasih kepada Internet dan media sosial.

Seorang lagi intelektual Yahudi yang tersohor sebagai penolak Zionisme dan mengkritik Israel ialah Norman Gary Finkelstein. Sosok ini ialah pakar saintis politik dan seorang aktivis di Amerika. Bidang penyelidikan utamanya ialah politik Holocaust dan konflik Israel-Palestin.

Finkelstein dilahirkan dari ibu bapa yang kedua-duanya terselamat dari maut Holocaust Nazi. Justeru ilmu dan bidang Holocaust ini yang dikaji oleh Finkelstein.

Finkelstein menjadi terkenal pada 2000 selepas menulis bukunya The Holocaust Industry. Dalam buku ini dia mendakwa bagaimana ingatan Holocaust telah dijadikan sebagai “senjata ideologi” untuk memberikan Israel “kekebalan terhadap kritikan”.

Bayangkan pada 2008 sosok Yahudi ini tidak dibenarkan masuk ke Israel. Rejim Zionis Israel amat marah pada Finkelstein yang telah menggelar Israel sebagai “negara ketuanan Yahudi”, dan membuktikan Israel melakukan jenayah apartheid terhadap rakyat Palestin.

Dalam salah satu bukunya, dia membandingkan nasib rakyat Palestin yang hidup di bawah penjajahan Israel dengan kezaliman Nazi.

Selain dari intelektual Yahudi yang menentang Zionis kita juga sering terbaca satu kumpulan agamawan Judaisme yang menentang kewujudan Israel. Mereka sering dilihat bersetia kawan dalam demo pro-Palestin di New York atau di London.

Agamawan Yahudi ini dikenali sebagai Neturei Karta atau Penjaga Kota. Mereka ialah kumpulan agama Yahudi Haredi yang diasaskan di Jerusalem pada tahun 1938.

Penganut mazhab ini adalah penentang aktif Zionisme dan menganjurkan “pembubaran secara aman” negara Israel.

Di bawah kepercayaan kumpulan ini Bani Yahudi dilarang keras daripada menegakkan semula kedaulatan di Tanah Israel sehingga kedatangan Nabi Isa sekali lagi.

Neturei Karta – Penjaga Kota percaya bahawa kewujudan negara Yahudi adalah pemberontakan terhadap Tuhan. Justeru mereka bersama gerakan pro Palestin dan menyokong terdirinya negara Palestin. Dan negara Israel dimansuhkan.

Ketika tulisan ini digarap Perang Gaza telah masuk ke hari ke-76. Laporan dari pihak berwajib telah melaporkan jumlah warga Gaza yang gugur telah mencecah 20,000. Majoriti yang gugur adalah wanita dan kanak-kanak. Kenapa wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa dan bukan gerila?

Jawabnya senang sahaja. Dalam perang gerila dalam bandar sosok yang paling sedar dan paling berhati-hati dari ledakan peluru dan bom adalah gerila.

Justeru dalam peperangan gerila yang paling selamat ialah gerila. Yang menjadi mangsa ialah soldadu yang mencari gerila dan orang awam yang tidak tahu taktik dan strategi perang gerila.

Persoalan hakiki ketika ini adalah seperti pandangan Chomsky – apakah Perang Gaza menjemput terbukanya perang serantau. Ketika tulisan ini digarap Laut Merah dan Teluk Parsi kini dipenuhi oleh kapal perang.

Malaysia sendiri telah melarang kapal Israel dari berlabuh di Pelabuhan Klang. Kita lihat dan tunggu apa perkembangan dan reaksi dunia. Kita tunggu minggu depan. Amin. – 22 Disember, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen