Kerajaan pimpinan Donald Tusk peroleh undi percaya


Donald Tusk dipilih sebagai perdana menteri baharu Poland menerusi undian di Parlimen pada petang Isnin. – Gambar EPA, 13 Disember, 2023.

KERAJAAN pimpinan Donald Tusk berjaya memperoleh undi percaya pada Selasa di Sejm dengan 248 undi menyokong manakala 201 menentang, lapor Xinhua.

Tusk dipilih sebagai perdana menteri baharu menerusi undian di Parlimen pada petang Isnin selepas kerajaan pimpinan Mateusz Morawiecki gagal memperoleh undi percaya yang mencukupi.

Beliau akan mengetuai kerajaan campuran yang terdiri daripada tiga kumpulan pembangkang utama.

Sebelum sesi pengundian, Tusk membentangkan rancangan kerajaan pimpinannya serta komposisi anggota menteri yang baharu.

Antara lain, Tusk mengetengahkan langkah perundangan yang bertujuan menyokong usahawan dan guru-guru.

Tumpuan utama kerajaan baharu itu ialah menyelaras dana daripada Kesatuan Eropah (EU), dengan Tusk berjanji memulihkan dana EU yang dibekukan susulan pertikaian berhubung kedaulatan undang-undang.

Majlis angkat sumpah anggota Kabinet Tusk dijadual berlangsung pada Rabu. – Bernama, 13 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen