POLAND pada Rabu memaklumkan tidak akan lagi membekalkan senjata kepada Ukraine, sebaliknya memutuskan untuk memberi tumpuan kepada pertahanannya sendiri.
Keputusan mengejut itu dibuat semasa pertelagahan peribadi kedua-dua negara bersekutu itu berhubung eksport bijirin, ketika Kyiv berusaha menentang pencerobohan Rusia.
Susulan perbalahan mengenai eksport bijirin dari Ukraine, Poland memanggil duta Ukraine untuk menyatakan bantahan terhadap kenyataan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pemimpin Ukraine itu berkata beberapa negara hanya berpura-pura menyokong negaranya melakukan serangan balas untuk merampas semula tanah yang diambil oleh Rusia, sekali gus membuatkan Warsaw tersinggung.
Poland sebelum ini adalah antara penyokong tegar Ukraine selepas Rusia menyerang negara itu pada Februari 2022, dan menjadi antara pembekal senjata utama Kyiv.
Kebanyakan senjata yang dihantar oleh Amerika Syarikat (AS) dan negara lain ke Ukraine dihantar melalui Poland, yang bersempadan dengan di bahagian barat.
Poland juga menjadi tempat kepada kira-kira 1 juta pelarian dari Ukraine, yang mendapat manfaat daripada pelbagai jenis bantuan.
Ketegangan antara Warsaw dan Kyiv tercetus berikutan larangan Poland mengimport bijiran dari Ukraine, dengan tujuan melindungi petaninya sendiri.
Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki, yang ditanya sama ada negaranya akan terus menyokong Kyiv, berkata pihaknya tidak lagi menghantar senjata ke Ukraine kerana mahu melengkapkan Poland dengan senjata lebih moden.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine menutup laluan di Laut Hitam yang digunakan sebelum perang, menyebabkan Kesatuan Eropah (EU) menjadi laluan transit utama dan destinasi eksport untuk bijirin Ukraine.
Pada Mei lalu, EU bersetuju menyekat eksport ke Bulgaria, Hungary, Poland, Romania dan Slovakia, bertujuan melindungi petaninya yang menyalahkan penghantaran itu sehingga menyebabkan kemerosotan harga di pasaran tempatan.
Langkah itu membolehkan produk terus transit melalui lima negara, tetapi menghalangnya daripada dijual di pasaran tempatan.
Namun pada Jumaat, Suruhanjaya Eropah berkata ia menamatkan larangan import, dengan alasan gangguan pasaran di lima negara anggota yang bersempadan dengan Ukraine sudah berakhir.
Poland, Hungary dan Slovakia segera mengumumkan mereka akan menentang langkah itu. – AFP, 21 September, 2023.
Komen