Penggabungan institusi pelaburan Bumiputera bukan jaminan tiada salah urus, kata pakar


Diyana Ibrahim

Langkah pemusatan dan penggabungan institusi pelaburan ini akan kurangkan risiko pelaburan gagal kerana semua institusi secara teknikal akan diletakkan bawah PNB, kata pakar ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2023.

PEMUSATAN dan penggabungan institusi pelaburan Bumiputera bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YBP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) belum tentu menjamin tiada lagi salah laku pengurusan seperti yang berlaku sebelum ini, kata pakar ekonomi.

Langkah itu, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024, tidak mungkin mengekang seratus peratus salah tadbir dan kegagalan pengurusan, kata pakar ekonomi Barjoyai Bardai.

“Ia hanya bermakna satu prasyarat untuk kurangkan kemungkinan salah tadbir dalam pengurusan, sebab untuk mengekang salah tadbir, perlu ada tadbir urus korporat yang ketat.

“Cuma langkah ini dijadikan satu usaha untuk menstruktur atau menggabungkan bentuk pelaburan yang boleh ditawar kepada pelabur,” katanya.

Barjoyai juga mencadangkan kerajaan untuk menawarkan pelaburan modal teroka sebagai satu lagi bentuk pelaburan dana amanah yang ketiga selepas amanah saham dan amanah hartanah.

“Mungkin pada masa akan datang kerajaan boleh tawarkan saham portfolio yang mengandungi tiga elemen ini,” katanya.

Semasa membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada 13 Oktober, Anwar berkata salah tadbir urus institusi negara sebelum ini menyebabkan kerajaan menanggung kerugian, antaranya melibatkan Tabung Haji, Felda, dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Pemusatan dan penggabungan institusi pelaburan Bumiputera ini antara lain bertujuan meletakkan tanggungjawab mengurus yang lebih profesional serta merealisasikan potensi pelaburan jangka panjang demi kepentingan pemegang taruh.

Melalui langkah itu, Putrajaya mahu menggabungkan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) bawah PNB sementara Ekuiti Nasional Bhd atau Ekuinas akan diletakkan bawah YPB, yang akan berperanan mengukuhkan pengembangan ekonomi Bumiputera termasuk dengan kerjasama Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

YPB ditubuhkan pada Januari 1978 untuk menetapkan dasar dan garis panduan penyertaan dan pemilikan modal saham bumiputera dalam sektor korporat selaras dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Pada Mac tahun sama, PNB ditubuhkan sebagai syarikat pengurusan dana yang terbesar di Malaysia untuk menggalakkan pemilikan modal saham oleh masyarakat Bumiputera.

Ekuinas pula dibentuk pada 2009 sebagai syarikat pengurusan dana ekuiti swasta menggunakan dana amanah bawah Yayasan Ekuiti Nasional.

Berbeza dengan PNB yang menguruskan dana amanah, Ekuinas menumpukan pelaburan dalam sektor yang dilihat berpotensi untuk pertumbuhan tinggi.

PHB pula ialah syarikat pegangan pelaburan hartanah, anak syarikat operasi milik penuh Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera yang dibentuk pada Mei 2006 untuk meningkat pemilikan Bumiputera dalam hartanah komersial utama.

Barjoyai berkata pemusatan dan penggabungan institusi pelaburan bumiputera itu pada dasarnya idea yang baik tetapi semuanya mesti tetap diuruskan berasingan.

“Memang perlu diurus berasingan sebab Suruhanjaya Sekuriti Malaysia memang mensyaratkan institusi pelaburan ini  diuruskan berasingan.

“Malah setiap dana yang PNB lancar, pengurusannya kena berasingan,” katanya.

Jelas beliau, sifat institusi pelaburan itu akan jadi terlalu umum kalau semuanya disamakan melalui pemusatan dan penggabungan seperti diumumkan oleh perdana menteri.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School di Universiti Putra Malaysia (UPM) melihat usaha kerajaan ini bertujuan memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera tidak terjejas kerana isu tadbir urus dan pengurusan institusi yang lemah.

Beliau percaya langkah pemusatan dan penggabungan institusi pelaburan ini akan mengurangkan risiko pelaburan gagal kerana semua institusi secara teknikal akan diletakkan bawah PNB.

“Risikonya akan lagi rendah daripada model sekarang yang mana ditadbir secara berasingan kerana lagi besar sesebuah organisasi, kepelbagaian asetnya juga lebih besar.

“Kalau ada satu pelaburan yang rugi, ia tidak memberi kesan keseluruhan sebab dilabur dalam pelbagai portfolio,” katanya. – 13 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen