SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bercadang untuk menghidupkan semula projek rangkaian kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dengan Singapura.
Dalam temu bual dengan Singapore Straits Times, Sultan Ibrahim bertitah baginda mempunyai idea bagaimana untuk mengembalikan projek itu ke landasan yang betul selepas Putrajaya berkata ia tidak akan membiayai laluan sepanjang 350km yang dianggarkan menelan belanja lebih RM100 bilion.
“Saya akan melakukannya,” titahnya.
Baginda mencadangkan projek itu boleh dibiayai melalui inisiatif kewangan swasta dengan kerajaan membayar kontraktor untuk mengendalikannya secara pajakan 30 tahun supaya ia boleh mendapatkan balik kos, sebelum mengambil alih pemilikan HSR.
“Jika kekal dengan cadangan pertama, ia hanya begitu banyak. Tetapi kerana on-off-on-off anda, hari ini ia lebih banyak,” katanya merujuk kepada anggaran kos awal RM72 bilion apabila projek itu mula diumumkan pada 2013.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan membiayai projek kereta api itu tetapi mengalu-alukan cadangan yang disokong swasta.
Projek kereta api itu dimansuhkan pada 1 Januari 2021, dengan Malaysia perlu membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya di bawah perjanjian dua hala.
Ia kemudian dilaporkan bahawa Singapura tidak menerima cadangan Putrajaya untuk mengeluarkan pembekal sistem dan pengendali rangkaian HSR yang akan bertanggungjawab kepada kedua-dua negara.
Terdapat banyak desakan agar projek HSR KL-Singapura dihidupkan semula.
Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng antara yang berkata projek itu perlu diteruskan kerana ia akan membawa manfaat ekonomi kepada negeri seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Lembah Klang. – 10 Disember, 2023.
Komen