Siasatan perolehan ventilator rosak masih berjalan, kata PAC


Ravin Palanisamy

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata prosiding seterusnya isu ventilator rosak dijadual diadakan pada Januari tahun depan dan perkembangan siasatan mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2023.

SIASATAN lanjut ke atas perolehan 104 unit ventilator rosak semasa pandemik Covid-19 akan dijalankan selepas maklum balas daripada Kementerian Kesihatan (KKM) diperolehi, kata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pengerusinya Mas Ermieyati Samsudin memaklumkan kepada The Malaysian Insight, prosiding seterusnya dijadual diadakan pada Januari tahun depan dan perkembangan siasatan terhadap isu itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu mengulas gesaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab membeli ventilator rosak tersebut.

Dalam laporan yang dikeluarkan pada 30 Oktober lalu, PAC mendedahkan perbincangan, penilaian dan keputusan berhubung perolehan ventilator terseut dilakukan melalui aplikasi WhatsApp disebabkan kekangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan dan situasi yang mendesak ketika itu.

Laporan itu juga mendedahkan tiada perjanjian bertulis dimeterai antara KKM dan syarikat pembekal iaitu Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB), dan PLSB diarah untuk membuat pembayaran pendahuluan bagi mendapatkan ventilator.

Arahan itu dibuat walaupun syarikat tersebut tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam perolehan peralatan perubatan seperti ventilator.

“Ketiadaan perjanjian bertulis di antara KKM dan PLSB menyebabkan tiada mana-mana pihak yang boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.

Sehingga kini, ketidaktentuan peranan PLSB dalam isu ini mengakibatkan proses mengambil tindakan undang-undang tidak dilaksanakan,” menurut laporan itu.

PLSB adalah anak syarikat milik penuh Pharmaniaga Berhad yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan penghantaran ubat-ubatan ke semua fasiliti kesihatan dan perubatan di bawah KKM.

Juga didedahkan bahawa KKM terpaksa mendapatkan bekalan ventilator itu dari China, namun selepas ventilator berkenaan tiba, ia tidak melepasi terma dan syarat walaupun semakan spesifikasi dilakukan oleh pakar kementerian itu terlebih dahulu berdasarkan brosur dibekalkan.

Menurut transkrip keterangan saksi yang dipanggil PAC, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM Norazman Ayob berkata syarikat China yang membekalkan mesin ventilator kepada KKM ketika kemuncak penularan wabak Covid-19 pada 2020 menyerahkan mesin yang tidak mengikut spesifikasi yang diminta.

Dalam satu sidang media di Parlimen pada awal bulan lepas, Mas Ermieyati berkata perolehan 104 unit ventilator rosak itu dilakukan semasa Adham Baba menjadi menteri kesihatan. – 8 Disember, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen