Bekas perunding IT didapati bersalah sebabkan kematian pengurus bank


Yew Wei Liang didapati bersalah menyebabkan kematian seorang pengurus bank dalam satu kejadian amuk di lebuh raya pada 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2023.

SEORANG bekas perunding teknologi maklumat (IT) didapati bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian pengurus bank Syed Muhammad Danial Syed Syakir dalam satu kejadian amuk di lebuh raya pada 2019.

Perkara itu diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. 

Tertuduh, Yew Wei Liang, 45, didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dengan kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat.

Hakim Julia Ibrahim ketika membacakan keputusan berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya terhadap Yew tanpa keraguan munasabah.

Mahkamah akan mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung keputusan itu pada jam 2 petang ini.

“Beban membuktikan hak pertahankan diri daripada ancaman kecederaan terletak kepada tertuduh mengikut Seksyen 105 Akta Keterangan 1950,” kata hakim, menambah tertuduh gagal membuktikan ada ancaman kecederaan terhadapnya dan isteri daripada mangsa.

Hakim Julia berkata walaupun tertuduh menghalang keretanya dirosakkan oleh si mati, dalam kes ini menggunakan kayu besbol, namun hak itu bukanlah sehingga menyebabkan kematian.

Yew sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Kajang pada 22 Ogos 2019 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh selepas terbabit dalam kejadian amuk jalan raya yang menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial, 29, dekat Bandar Baru Bangi pada 10 Ogos tahun sama.

Syed Muhammad Danial disahkan meninggal dunia pada hari kejadian di sebuah hospital swasta di Nilai, Negeri Sembilan. – 5 Disember, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen