Kes denggi meningkat, 2 kematian direkodkan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata terdapat dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan bagi tempoh 5 hingga 11 November. – Gambar fail AFP, 20 November, 2023.

JUMLAH kes demam denggi mencatatkan peningkatan sebanyak 214 kes atau 9.63% kepada 2,435 kes pada Minggu Epidemiologi ke-45 (ME45) iaitu bagi tempoh 5 hingga 11 November berbanding 2,221 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata terdapat dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME45.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dicatatkan setakat ini adalah sebanyak 103,371 kes berbanding 52,977 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 50,394 kes atau 95.1%. 

“Sejumlah 80 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 37 kematian bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya.

Bilangan lokaliti hotspot pula meningkat kepada 70 lokaliti berbanding 67 lokaliti pada minggu sebelumnya dengan 45 lokaliti di Selangor, masing-masing tujuh di Perak, Kuala Lumpur dan Putrajaya, lima di Sabah, dua di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang serta masing-masing satu lokaliti di Pahang dan Sarawak.

Mengenai survelan chikungunya, Radzi berkata sebanyak tiga kes chikungunya direkodkan pada ME45 menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini 184 kes.

Bagi survelan zika pula sebanyak 3,159 sampel darah dan 331 sampel urin dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif, katanya. – Bernama, 20 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen