MENTERI kesihatan paling lama berkhidmat, Chua Jui Meng meninggal dunia pada usia 80 tahun hari ini.
Chua berkhidmat sebagai menteri kesihatan selama sembilan tahun dari 1995 hingga 2004.
Jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan mengesahkan berita kematian bekas ahli Parlimen Bakri selama lima penggal itu.
Chua yang merupakan seorang peguam bertauliah memulakan kerjaya politiknya pada 1976 sewaktu menjadi ahli MCA, parti komponen Barisan Nasional (BN).
Beliau membuat penampilan sulung di kerusi Parlimen Bakri pada Pilihan Raya Umum 1986 dan seterusnya menjadi naib presiden parti pada 1990.
Chua mula berkhidmat di Kementerian Kesihatan ketika beliau dilantik sebagai menteri selepas Pilihan Raya Umum 1995.
Beliau keluar daripada MCA dan menyertai PKR pada Julai 2009 dan kemudiannya dilantik sebagai ketua bahagian PKR Johor.
Beliau bertanding di kerusi Parlimen Segamat atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13), namun tewas kepada penyandang presiden MIC ketika itu dan penyandang kerusi tersebut, S Subramaniam. – 3 Disember, 2023.
Komen