Warga emas meninggal dunia lepas celup dakwat sebelum mengundi


SEORANG wanita meninggal dunia ketika hendak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Rokan, Gemencheh di Seremban, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin Anuwal Ab Wahab berkata warga emas berumur 83 tahun itu dikatakan tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri sejurus mencelup jari ke dalam botol dakwat sebelum mengundi dalam kejadian jam 11 pagi.

Beliau berkata wanita itu kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Gemencheh oleh ahli keluarganya dan warga emas berkenaan dikatakan sedar namun paras oksigennya semakin menurun.

“Bantuan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dilakukan oleh pembantu pegawai perubatan ke atas wanita itu namun dia tidak berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, wanita itu pernah mengadu kepada keluarganya dia mengalami sakit pada bahagian kaki sejak balik mengerjakan umrah baru-baru ini dan rekod perubatan mendapati wanita itu adalah pesakit darah tinggi.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Bernama, 12 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen