Dr Sam ‘poster boy’ PAS untuk PRU16


Dr Samsuri Mokhtar menang PRK Kemaman dengan majoriti 37,220 undi semalam. – Gambar Facebook, 3 Disember, 2023.

PAS boleh saja menamakan orang lain untuk bertanding di Kemaman namun memilih Dr Samsuri Mokhtar sebagai calon kerana parti Islam itu bersedia untuk melaksanakan agenda yang lebih besar daripada sekadar memenangi pilihan raya kecil, kata pakar.

Menurut mereka, PAS boleh menang mudah di kerusi Parlimen itu walaupun tidak menamakan menteri besar Terengganu kerana kata penganalisis, PAS sedia memperkenalkan tokoh profesional dari parti itu yang sering dikaitkan dengan alim ulama.

PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Samsuri yang mewakili PAS dengan calon Barisan Nasional (BN), seorang bekas panglima tentera Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Pilihan raya itu diadakan berikutan keputusan mahkamah pilihan raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias ​​Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Seramai 141,790 pengundi yang layak di kawasan itu termasuk 387 anggota polis, enam anggota tentera dan tiga pasangan mereka, serta 12 pengundi luar negara.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata PAS bukan hanya mahu memenangi pilihan raya kecil itu tetapi merancang untuk menamakan dan menaikkan salah seorang calon perdana menterinya.

“Ia adalah langkah strategik daripada PAS. PAS dalam fasa memperkenalkan pemimpin muda dari parti itu yang mempunyai kemampuan dan kebolehan.

“Terdapat tanda-tanda jelas pergolakan dalaman dalam Bersatu apabila bercakap mengenai calon PM tetapi dalam PAS, ia utuh. Mereka setia kepada parti dan tidak akan memberontak terhadap sebarang keputusan.

 “Mereka (PAS) boleh pilih sesiapa sahaja untuk bertanding di Kemaman dan menang, tetapi mereka memilih Dr Sam (Samsuri) kerana mereka mempunyai agenda yang lebih besar. Untuk membawa parti ke peringkat kebangsaan,” kata Hisomuddin.

Malam tadi, Samsuri diumum memenangi kerusi Kemaman selepas memperoleh 64,998 undi manakala calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memperoleh 27,778 undi.

Menurut SPR, sebanyak 428 kertas undi ditolak dengan jumlah keluar mengundi sebanyak 65.76%. – 3 Disember, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen