Perikatan menang Kemaman dengan majoriti lebih besar


Ketika tinggal hanya lima peti undi yang belum selesai dikira, berdasarkan keputusan tidak rasmi selepas 244 undi dikira, Ahmad Samsuri Mokhtar mendahului dengan majoriti hampir 37,000. – Gambar Facebook, 2 Disember, 2023.

MENTERI Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Kemaman apabila mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan majoriti lebih besar berbanding yang dimenangi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden PAS itu meraih 64,998 undi mengatasi lawannya yang mendapat 27,778 undi.

Samsuri menang dengan majoriti 37,220 undi, lebih 10,000 undi berbanding yang dimenangi calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15, setahun yang lalu.

Pada PRU15, Che Alias mendapat 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru mengalahkan calon BN Ahmad Said, Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab Ghani (Gerakan Tanah Air). Beliau menang dengan 27,179 undi.

Keputusan diumumkan oleh pegawai pengurus pilihan raya Ahmad Farhan Abdul Wahab di pusat penjumlahan undi di Majlis Perbandaran Kemaman.

Sebelum itu, dalam ucapannya kepada para penyokong PAS dan PN, Samsuri menyifatkan majoriti yang bertambah itu petunjuk baik untuk mereka.

“Ini merupakan satu game changer, membuka pintu bagi kita menuju ke Putrajaya,” katanya.

 

Sepanjang kempen pilihan raya sejak 18 November, Samsuri disebut-sebut sebagai calon perdana menteri bagi PN.

Malah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkempen untuknya pada hari terakhir semalam juga berkata Samsuri layak diangkat sebagai perdana menteri atas rekod baiknya mentadbir Terengganu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari dalam ucapan menyambut kemenangan Samsuri mencabar bekas calon BN Ahmad Said supaya memfailkan petisyen di mahkamah sama seperti yang dilakukannya selepas PRU15.

“Kalau beliau nak buat petisyen pulak, dipersilakan.

“Kalau kemenangan 27,000 kamu katakan menang rasuah, malam ini kalau 40,000 sila failkan petisyen sekali lagi. Kalau kamu failkan petisyen lagi sekali, InsyaAllah, majoriti 50,000 menanti,” katanya di majlis perhimpunan penyokong PAS di Chukai, malam ini.

Pilihan raya Kemaman hari ini diadakan semula selepas mahkamah membatalkan kemenangan Che Alias atas petisyen yang difailkan oleh seorang pengundi.

Hakim Anselm Charles Fernandis dalam keputusannya mendapati pempetisyen berjaya membuktikan elemen rasuah yang bertujuan mempengaruhi pengundi dalam PRU15. – 2 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen