Pengundi Kemaman perlu buat pilihan bijak


Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata hal ini kerana kesemua empat DUN di Parlimen berkenaan iaitu Kemasik, Kijal, Chukai dan Air Putih diterajui Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2023.

PENGUNDI di kawasan Parlimen Kemaman, Terengganu perlu menggunakan kebijaksanaan dan mengundi calon yang bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu Sabtu ini demi kebaikan mereka.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata hal ini kerana kesemua empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen berkenaan iaitu Kemasik, Kijal, Chukai dan Air Putih diterajui Perikatan Nasional (PN).

“Dah ada empat Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) daripada PAS, dah ada untuk negeri. Untuk kebaikan pengundi di Kemaman, kawasan Parlimen itu kena dipimpin kerajaan pusat, mereka akan untung, (peringkat) negeri dapat untung, Persekutuan pun dapat… jadi perlu bijak, jangan ikut emosi.

“Nak untung ke tak? Kalau nak, mesti bersama dengan kerajaan Persekutuan, pelbagai agensi dan kementerian berikan banyak kemudahan bantuan melalui wakil ahli Parlimen yang bersama Kerajaan Perpaduan… jadi pilihlah ahli Parlimen daripada kerajaan Pusat,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kesihatan dan Jualan Agro Madani di Taman Bandar Senawang di Seremban hari ini. 

Mengenai perkembangan kempen PRK Kemaman, Mohamad berkata setakat ini ia berlangsung dengan baik, namun menghadapi sedikit kekangan berikutan hujan.

“Bagaimanapun, kita akan cuba santuni seramai mungkin pengundi… dalam PRK ini, masing-masing mempunyai peluang sama ada kita boleh menang ataupun tidak, jadi usaha mesti dilakukan,” katanya.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 2 Disember ini sebagai hari mengundi untuk PRK Kemaman yang diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – Bernama, 26 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen