Kesatuan pengangkutan UK setuju tawaran gaji untuk tamat mogok


Setiausaha Agung RMT Mick Lynch berkata rundingan lanjut berkenaan gaji akan diadakan dan mereka akan tetap memastikan nasib ahli terbela. – Gambar EPA, 1 Disember, 2023.

AHLI kesatuan pengangkutan terbesar di United Kingdom (UK) RMT menerima kadar gaji yang ditawarkan dan bersetuju untuk menangguhkan mogok, umum kesatuan itu pada Khamis.

Tawaran itu termasuk tunggakan kenaikan gaji sebanyak lima peratus untuk tahun kewangan 2022-23 manakala rundingan seterusnya akan ditangguhkan ke tahun depan.

“Ahli kami bersetuju dengan tawaran gaji tanpa syarat itu. Rundingan lanjut akan diadakan dan kami akan tetap memastikan nasib ahli kami terbela,” kata setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Rel, Maritim dan Pengangkutan (RMT) Mick Lynch, lapor Xinhua.

Jurucakap Rail Delivery Group yang mewakili pengendali kereta api menyambut baik keputusan itu.

“Perjanjian dicapai dengan tiga daripada empat kesatuan yang terlibat dalam pertikaian industri baru-baru ini,” katanya.

Kesatuan itu melancarkan mogok besar-besaran pada musim panas 2022 akibat pertikaian mengenai gaji dan syarat-syarat kerja.

Angka rasmi menunjukkan sehingga Disember 2022 jumlah hari kerja yang hilang mencatatkan rekod tertinggi menyaksikan lebih tiga perempat daripadanya melibatkan pekerja dalam bidang pengangkutan, penyimpanan, maklumat dan komunikasi. – Bernama, 1 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen