UK pecat menteri luar isu Palestin, David Cameron kembali ke Kabinet


Perdana Menteri UK Rishi Sunak semalam melantik David Cameron sebagai setiausaha luar dalam rombakan Kabinet mengejut. – Gambar EPA, 14 November, 2023.

BEKAS perdana menteri Britain David Cameron kembali ke Kabinet negara itu bagi menyelamatkan kerajaannya yang dikecam hebat atas kegagalan mengekang kekejaman rejim Israel di Palestin.

Perdana Menteri Rishi Sunak semalam melantik Cameron sebagai setiausaha luar dalam rombakan Kabinet mengejut.

Media tempatan United Kingdom (UK) malam tadi melaporkan Cameron menggantikan James Cleverly, yang mengisi jawatan itu buat sementara selepas Sunak memecat Setiausaha Luar Suella Braverman.

Downing Street dilaporkan bertindak demikian ekoran tindakan Braverman menindas rakyat Britain yang bersetiakawan dengan rakyat Palestin.

Isu itu memuncak apabila ratusan ribu rakyat Britain turun ke jalan hujung minggu lalu bagi membantah kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin dan mendesak serangan dihentikan.

Braverman yang tidak puas hati dengan perhimpunan tersebut seterusnya menulis rencana di akhbar The Times dengan menuduh polis bertindak berat sebelah dalam menangani perhimpunan itu.

Dalam tulisan itu, pemimpin parti Konservatif itu berkata polis hanya membiarkan perhimpunan berkenaan tetapi bertindak lebih keras ke atas perhimpunan balas oleh kumpulan berhaluan kanan.

Braverman juga menggelarkan peserta perhimpunan pro-Palestin itu sebagai perarakan kebencian.

Desakan untuk memecat Braverman dibuat anggota Parlimen parti Buruh, Liberal Demokrat dan juga parti Tory.

Turut menjadi isu, surat diedarkan Braverman ke seluruh institusi pengajian tinggi yang memberi amaran kepada semua warga akademik Britain supaya tidak bersimpati pada Palestin.

Pelantikan Cameron pula dilihat pemerhati politik Britain sebagai usaha terdesak Sunak untuk mengekalkan jawatan perdana menteri menjelang pilihan raya umum tahun depan.

Dalam lawatan ke Israel pada 19 Oktober lalu, Sunak menyatakan negaranya “bersetiakawan dengan rakyat Israel” dan mahu negara tersebut “menang”.

Pendirian itu bagaimanapun tidak selari dengan pelbagai lapisan rakyatnya, termasuk para intelektual dan petugas kesihatan yang turut turun ke jalan bagi membantah kekejaman Israel.

Walaupun pernah menyuarakan pandangan kritikal ke atas Israel, Cameron menyokong penuh operasi tentera Israel ke atas Gaza pada waktu ini.

Dalam satu ucapan pada Jun 2010, Cameron mengumpamakan Gaza sebagai satu penjara terbuka dan ia menjadi masalah dalam proses perdamaian di Timur Tengah.

Sebulan selepas itu, Cameron mengutuk serangan Israel ke atas flotilla Gaza dan menggesa bantuan kemanusiaan disampaikan ke penduduk Palestin.

Pada 9 Oktober lalu, Cameron bagaimanapun mengumumkan pendirian menyokong usaha Israel mengadakan sekatan penuh dan serangan ke atas Gaza. – 14 November, 2023.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen