Keputusan rayuan kes rasuah Isa Samad esok ditangguh


Isa Samad didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan amaun sebanyak RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2023.

MAHKAMAH Rayuan menangguhkan keputusan dalam kes membabitkan bekas pengerusi Felda Isa Samad terhadap sabitan, hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta bagi kesalahan rasuah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Vazeer Alam Mydin Meera, Ahmad Zaidi Ibrahim dan S M Komathy Suppiah pada asalnya dijadual mengumumkan keputusan mereka esok.

Seorang peguam yang mewakili Isa, Siti Sarah Khalil, ketika dihubungi berkata pembelaan menerima notis daripada mahkamah memaklumkan prosiding yang dijadual berlangsung esok dilapangkan dan akan diganti dengan pengurusan kes untuk menetapkan tarikh baharu.

Pada 14 Oktober lepas, panel itu menangguhkan keputusannya selepas mendengar hujahan pembelaan dan pendakwaan.

Isa, 73, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan amaun sebanyak RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur di antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan tempoh pemenjaraan keseluruhan 54 tahun dan denda RM15.45 juta, atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda itu.  

Bagaimanapun, beliau mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak dan ini bermakna Isa hanya perlu menjalani hukuman itu selama enam tahun.

Isa, yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, memfailkan notis rayuan pada 4 Februari 2021.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1.5 juta dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan kes itu selesai. – Bernama, 27 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen