Pengurusan kes rayuan Isa Samad bagi kes rasuah 8 September


Bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2022.

MAHKAMAH Rayuan menetapkan 8 September ini untuk pengurusan kes berhubung rayuan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad terhadap sabitan serta hukuman penjara dan denda atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Tarikh itu ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Tan Chai Wei ketika pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz semasa dihubungi berkata pengurusan kes selanjutnya itu ditetapkan kerana rekod rayuan belum siap.

Pada 3 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Isa, 72,  atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun setelah Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan selesai.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021. – Bernama, 27 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen