Bukit Tinggi dilanda banjir


Noel Achariam

Keadaan jalan yang terpaksa ditutup selepas banjir melanda Bukit Tinggi malam tadi. – Gambar Facebook, 26 November, 2023.

BUKIT Tinggi dan Bentong di Pahang dilanda banjir susulan hujan lebat selama beberapa jam malam tadi sehingga memaksa penutupan jalan.

Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman menyiarkan pada X yang banjir melanda balai polis Bukit Tinggi dan kawasan sekitarnya pada kira-kira jam 10 malam.

“Saya telah pun meminta kerjasama pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk melawat segera kawasan yang terlibat supaya kerja-kerja baik pulih dapat dilakukan segera.

“Saya juga bertemu dengan OCS Balai Bukit Tinggi, Balai Polis Genting, Balai Polis Bentong serta pasukan Bomba dan Penyelamat Bentong untuk melihat sendiri laluan di Janda Baik yang terputus dan tanah runtuh yang mengakibatkan pokok besar tumbang dan menghalang laluan,” tulisnya malam tadi.

Rakaman video kejadian yang tular di Facebook menunjukkan hujan lebat turun dari kawasan tinggi membanjiri kawasan rendah di pekan Bukit Tinggi.

Dalam rakaman video itu, beberapa kenderaan terperangkap dalam banjir dan harta benda dihanyutkan arus deras.

Syefura juga berkata, pihaknya meminta kerjasama Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk segera membaiki kawasan yang rosak itu.

Beliau turut menggesa pengusaha chalet, rumah tumpangan dan pengunjung yang berkhemah di Janda Baik dan Bukit Tinggi supaya berwaspada dengan keadaan cuaca semasa selain mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya perlu berpindah. – 26 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen