Bukit Tinggi, Janda Baik dilanda fenomena kepala air


Janda Baik di Bentong, Pahang mengalami fenomena kepala air petang tadi susulan hujan lebat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2023.

HUJAN lebat menyebabkan 15 premis perniagaan dan lima rumah di Bukit Tinggi serta Janda Baik di Bentong, Pahang dilanda fenomena kepala air petang tadi.

Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Bentong Azizah Husain berkata pihaknya dimaklumkan insiden di Bukit Tinggi berlaku pada kira-kira jam 6 petang.

“Kejadian berlaku selama hampir sejam dan penduduk mula membersihkan premis perniagaan dan rumah mereka kerana disaluti lumpur yang dibawa kepala air sekitar jam 7 malam,” katanya ketika dihubungi.

Kerja pembersihan turut dibantu oleh pihak berkuasa termasuk APM, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Azizah berkata insiden itu tidak membabitkan mangsa dan tiada pusat pemindahan sementara dibuka.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Bentong melalui media sosial memaklumkan laluan FT68 di jalan lama Kuala Lumpur-Bentong berhampiran simpang Janda Baik ditutup sementara kepada semua kenderaan kerana berlaku runtuhan sepanjang 100 meter.

Orang ramai boleh menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sebagai laluan alternatif. – Bernama, 12 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen