Pembinaan plaza tol Genting dihentikan sementara tunggu kelulusan, kata ahli Parlimen Bentong


Pembinaan plaza tol ke Genting Highlands dihentikan kerana tidak mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Bentong. – Gambar Facebook Vincent Chow, 21 Oktober, 2023.

MAJLIS Perbandaran Bentong (MPB) mengeluarkan arahan menghentikan kerja terhadap pembinaan plaza tol berhampiran Gohtong Jaya, pintu masuk utama ke pusat peranginan popular di puncak Genting Highlands, kata ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.

Beliau berkata, arahan berhenti kerja itu dibuat sehingga permohonan sewajarnya dilakukan kepada majlis tempatan dan kerajaan negeri.

Kenyataan beliau hari ini mengesahkan laporan media semalam kerja membina plaza tol dihentikan kerana pemaju tidak mematuhi syarat atau mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan sebelum kerja di tapak itu dimulakan.

Seorang pegawai kerajaan negeri juga dilaporkan sebagai berkata, tiada cadangan dikemukakan untuk memperkenalkan caj tol perjalanan sehala untuk pelancong ke Genting Highlands.

Difahamkan, walaupun cadangan tol itu dibina di atas tanah persendirian, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan terpaksa berunding mengenai kutipan tol.

Sebelum ini, media China melaporkan pemandu yang pergi ke Genting Highlands tidak lama lagi perlu membayar caj tol dan Lingkaran Cekap Sdn Bhd, yang bertanggungjawab menyelenggara kerja jalan raya di Genting, akan menguruskan operasi tol itu.

Young Syefura dalam pada itu berkata, beliau mendapat pengesahan pada 13 Okober lalu usaha pembinaan plaza tol di kawasan itu tidak membabitkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya.

“Untuk pengetahuan anda, Genting Highlands adalah tanah persendirian. Sudah sekian lama jalan ke Genting Highlands diuruskan oleh Genting Highlands sendiri.

“Bagaimanapun, sebarang usaha pembangunan atau projek pembangunan di atas tanah persendirian perlu mendapat kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan.

“Setakat ini, Majlis Perbandaran Bentong dan kerajaan negeri Pahang belum menerima sebarang permohonan berkaitan pembinaan plaza tol ini,” katanya. – 21 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen