Najib nafi tuduhan Sirul dalam interviu Al-Jazeera


Bekas perdana menteri Najib Razak menafikan dakwaan bekas pengawal peribadinya Sirul Umar Azhar dalam wawancara Al-Jazeera mengenai pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2023.

BEKAS perdana menteri Najib Razak menafikan semua dakwaan yang dibuat oleh bekas pengawal peribadinya Sirul Umar Azhar dalam wawancara program 101 East Al-Jazeera mengenai pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu pada 2006.

Peguambela & Peguamcara, Shafee and Co dalam satu kenyataan hari ini bagi pihak Najib, sebagai menjawab dakwaan yang dibangkitkan oleh Sirul berkata, Najib meminta kerajaan Malaysia untuk berhubung dengan pihak berkuasa Australia dengan tujuan untuk memudahkan ekstradisi Sirul ke Malaysia, memastikan siasatan menyeluruh terhadap dakwaannya.

“Untuk menyokong ini, anak guam kami mencadangkan kerajaan Malaysia mungkin menawarkan jaminan terhadap pelaksanaan hukuman mati untuk memudahkan objektif kebenaran dan keadilan yang lebih luas.

“Walaupun anak guam kami (Najib) mengekalkan semua hak undang-undang dan remedi dalam perkara ini terhadap Sirul, Al-Jazeera dan wartawannya Mary Ann Jolley, beliau tetap teguh menafikan sebarang pembabitan dalam kematian tragis Altantuya Shaaribuu melalui jenayah kejam itu.

“Kami ingin mengulangi anak guam kami (Najib) dikecualikan secara konklusif daripada sebarang pembabitan dalam kes ini dan disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk penyiasatan dimulakan semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan pengesahan semula oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan akhirnya melalui rayuan substantif di Mahkamah Persekutuan yang didengar secara menyeluruh atas meritnya,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menegaskan kedua-dua Sirul dan Azilah Hadri tidak pernah menjadi pengawal peribadi Najib, tetapi daripada kumpulan pengawal peribadi yang digilirkan antara pucuk pimpinan dalam Kabinet ketika itu. – Bernama, 25 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen