Sirul mengaku terima RM1 juta untuk tutup mulut kes Altantuya


Bekas pegawai Unit Tindakan Khas Malaysia Sirul Azhar Umar melarikan diri ke Australia selepas dijatuhi hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006. – Gambar Youtube, 24 November, 2023.

BEKAS komando polis Sirul Azhar Umar mendakwa diperangkap dalam konspirasi politik dan mengaku menerima RM1 juta untuk menutup mulut dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan satu kenyataannya melalui video pada 2016 yang mendakwa, bekas perdana menteri Najib Razak tiada kena mengena dengan kes pembunuhan itu.

“Ya, saya dibayar,” katanya dalam satu wawancara di Australia, yang disiarkan stesen TV Al-Jazeera hari ini.

Ketika ditanya lanjut, Sirul berkata, bayaran itu berjumlah kira-kira RM1 juta yang disifatkannya satu jumlah yang besar di Malaysia.

Wang tersebut antara lain digunakan untuk menyara anaknya yang juga kini berada di Australia, kata Sirul yang baru dibebaskan dari tahanan di Australia minggu lalu.

Mengulas lanjut, Sirul mengaku menerima wang tersebut melalui peguamnya dan mendakwa beliau dipergunakan untuk mempertahankan Najib.

“Sehingga kini orang masih mengawal saya.

Sewaktu menjawab satu lagi soalan, Sirul berkata beliau tidak mengetahui pihak yang membiaya kos guamannya bagi sepanjang proses mahkamah di Malaysia.

Ketika ditanya lagi, Sirul berkata beliau mengesyaki Najib mempengaruhi mahkamah semasa perbicaraan ke atasnya berlangsung selepas kes pembunuhan itu berlangsung pada 2006.

“Sebab Najib menjadi perdana menteri pada waktu itu,” katanya lagi.

Bekas sarjan polis itu percaya beliau hanyalah mangsa dalam konspirasi politik.

“Saya mangsa keadaan. Mereka gunakan saya sebagai mangsa untuk dipersalahkan,” katanya.

Sirul, 52, juga mendakwa semua bahan bukti mengaitkan dirinya dengan kes pembunuhan tersebut sengaja diada-adakan untuk menyabitkan kesalahannya di mahkamah.

“Semuanya diada-adakan,” kata beliau lagi.

Tambanya, beliau kini tidak sepatutnya dianggap sebagai individu berbahaya di Malaysia kerana segala bukti tersebut tidak cukup untuk menyabitkan kesalahannya.

“Saya berharap masyarakat Australia menerima saya seadanya. Saya bukan orang jahat,” katanya.

Sirul yang baru dibebaskan dari tahanan memohon pengampunan dari keluarga wanita Mongolia itu dan mahu meneruskan kehidupannya di negara Australia.

“Saya sayangkan Australia, dari hati saya, dari jiwa saya. Beri saya peluang kedua. Satu perkara lagi. Saya akan memohon maaf kepada keluarga Altantuya. Tolong maafkan saya. Itu sahaja,”

Bekas komando polis itu berkata, beliau kini masih berhubung dengan kira-kira 300 anggota pasukan itu melalui komuniti WhatsApp.

Sirul dibebaskan dari pusat tahanan imigresen Villawood di Sydney dua minggu lalu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Australia terhadap penahanan imigresen tanpa had tempoh.

Sirul melarikan diri ke Australia selepas Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya. Beliau seterusnya ditahan di Sydney kerana tinggal melebihi tempoh. – 24 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen