Anak lelaki Sirul di Australia mohon suaka politik untuk bapa


ANAK lelaki kepada bekas pegawai polis Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah kerana membunuh, merayu kepada kerajaan Australia untuk membebaskan bapanya yang berdepan hukuman mati di Malaysia.

The Sydney Morning Herald melaporkan anak lelaki Sirul yang berada di Australia, Shukri Azam Sirul Azhar berkata mereka tidak akan pulang ke Malaysia kerana bimbang keselamatan nyawa bapanya.

Sirul kini ditahan di pusat imigresen Australia selepas melarikan diri dari Malaysia.

“Jadi anda boleh bunuh dia (Sirul) kemudian hantar unit pembersihan untuk membersihkan tanpa kesan? Saya tahu bagaimana kerajaan Malaysia dan polis bekerja dan kami tidak bodoh untuk perangkap seperti ini.

“Apa pun yang berlaku, saya dan bapa membuat keputusan muktamad tidak akan kembali atau menjejakkan kaki di Malaysia,” katanya.

Menurut laporan itu, Shukri, 23, dibesarkan oleh ibu bapa angkat selepas terpisah daripada keluarga sebelah ibunya. Beliau menetap di Australia selama 10 tahun.

Sirul, bekas pegawai polis Azilah Hadri dan penganalisis politik Razak Baginda didakwa membunuh model yang juga penterjemah Altantuya Shaariibuu.

Beliau ditembak pada 2006 di hutan di Puncak Alam dan mayatnya kemudian diletupkan dengan bahan letupan.

Pada 2006, Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul dalam pembunuhan Altantuya, yang ketika itu berusia 28 tahun, tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2008.

Azilah dan Sirul disabitkan dengan pembunuhan itu pada 2009. Mereka berdua membuat rayuan dan dibebaskan pada 2013.

Bagaimanapun, dua tahun kemudian pihak pendakwaan berjaya merayu kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan pembebasan itu. Sirul dan Azilah sekali lagi didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Sirul melarikan diri ke Australia, di mana beliau mendapat suaka, manakala Azilah dihukum mati.

Shukri yang menulis kepada media itu sekali lagi meminta Australia memberikan suaka politik kepada bapanya dengan permohonan pertamanya ditolak pada 2019.

“Kami datang ke Australia untuk memulakan hidup baru. Buat pertama kalinya saya merayu kepada Australia (suaka politik).

“Tolong berikan ayah saya peluang kedua kerana kami tidak melakukan kesalahan sama ada di Malaysia atau di Australia.

“Ayah saya seorang yang kuat dan merendah diri, walaupun ramai orang memaki atau membulinya,” katanya dipetik sebagai berkata.

Beliau menambah dalam surat itu sudah bercakap secara terbuka mengenai keadaan bapanya ketika remaja pada 2014 tetapi mendakwa akaun Facebook miliknya ditutup oleh kerajaan Malaysia. – 3 Mei 2023. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen