Kenapa buat tuduhan sekarang, tanya Najib ulas pengakuan Azilah


Najib Razak mendakwa ada perjanjian antara kerajaan dengan Azilah Hadri iaitu sama ada memansuhkan atau menangguhkan hukuman mati yang diterimanya sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak menafikan dakwaan terbaharu bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis Azilah Hadri bahawa beliau mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, lapor Malaysiakini.

Najib mempersoalkan kenapa dakwaan itu timbul sekarang.

Beliau menyifatkan tuduhan yang dibuat dalam akuan berkanun itu sebagai usaha Pakatan Harapan (PH) mengalihkan tumpuan rakyat daripada pelbagai kelemahan kerajaan.

“Ini semata-mata rekaan oleh mereka yang terdesak untuk mengelakkan diri daripada tali gantung.

“Kenapa maklumat ini tidak keluar sebelum ini, tetapi hanya sekarang selepas lebih satu dekad selepas kematiannya dan hanya selepas 19 bulan PH berkuasa?” tanya Najib, seperti dipetik Malaysiakini.

Najib mendakwa ada perjanjian antara kerajaan dengan Azilah, dengan janji yang melibatkan hukuman mati ke atasnya sebagai balasan – sama ada dimansuhkan atau ditangguhkan.

“Ini adalah percubaan untuk mengalih perhatian dan menyerang saya,” katanya.

Najib juga menafikan dakwaan Azilah dalam akuan bersumpahnya bahawa mereka ada bertemu dan dalam pertemuan itu bekas perdana menteri memberikan arahan supaya Altantuya dibunuh.

Menurut Najib sesiapa pun boleh membuat akuan bersumpah (SD), apalagi kalau orang itu sedang menunggu hukuman mati.

“Sekiranya kamu percaya SD itu maka kamu juga harus mempercayai SD terbaru yang dibuat terhadap PM kelapan,” katanya.

Najib merujuk dakwaan salah laku seksual terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Najib mengalu-alukan polis untuk menyiasat dakwaan terbaharu itu.

Azilah yang kini menunggu pelaksanaan hukuman mati di Penjara Kajang membuat permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula sabitan dan hukuman ke atasnya, dan meminta kes dibicara semula.

Dalam menyokong permohonannya beliau mendakwa Najib dan pegawainya ketika itu Abdul Razak Baginda mengarahkan beliau membunuh Altantuya.

Beliau mendakwa Najib dan Razak menggambarkan Altantuya sebagai perisik asing Mongolia, yang mengancam keselamatan negara.

Azilah juga mendakwa pernah melihat Najib dan Razak bertemu dengan Altantuya di sebuah kondominium di London. – 16 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen