ARAHAN membunuh jurubahasa Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006 diterima sendiri daripada timbalan perdana menteri (TPM) ketika itu, Najib Abdul Razak dan pegawai khasnya, Abdul Razak Baginda, kata seorang daripada dua individu yang disabitkan dengan pembunuhan tersebut dalam akuan bersumpah.
Bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis, Azilah Hadri berkata demikian dalam akuan bersumpahnya bertarikh 17 Oktober tahun ini, yang diperolehi oleh Malaysiakini.
Pendedahannya memberikan segala butiran kronologi peristiwa ketika beliau mula-mula menerima arahan untuk menghapuskan Altantuya, yang digambarkan kepadanya sebagai perisik berbahaya dan penuh tipu helah.
Azilah berkata kali pertama menerima arahan membunuh warga Mongolia itu daripada Najib pada 17 Oktober 2006, ketika beliau bertugas sebagai anggota keselamatan di kediaman Najib di Sri Kenangan, Pekan, Pahang. Najib ketika itu merupakan ahli Parlimen Pekan.
Azilah berkata dipanggil ke sebuah bilik di mana timbalan perdana menteri sedang menunggu. Beliau disuruh berjumpa Najib oleh DSP Musa Safri, yang merupakan pembantunya pada masa itu.
Di dalam bilik, Najib memberitahu Azilah mempunyai tugasan rahsia untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur, berhubung perisik asing.
“TPM kemudian mengarahkan saya menjalankan operasi rahsia untuk menangkap dan menghapuskan perisik secara senyap dan memusnahkan mayatnya menggunakan bahan letupan,” kata Azilah dalam akuan bersumpah.
“Saya bertanya kepada TPM apa yang dimaksudkan dengan tangkap dan hapuskan perisik asing tersebut dan TPM menjawab, ‘Shoot to kill,’ sambil menunjukkan isyarat memotong leher,”katanya lagi.
Azilah berkata Najib juga menjelaskan tujuan menggunakan bahan letupan untuk “lupus mayat perisik asing ... untuk menghapuskan kesan”.
Bekas ketua inspektor polis, yang kini berumur 43 tahun sebaliknya cuba mencadangkan agar perisik itu ditangkap dan diusir sebaliknya, tetapi Najib tidak bersetuju.
Beliau berkata Najib juga memberinya telefon bimbit Samsung putih untuk digunakan bagi menghubungi beliau secara terus. Telefon itu akan dibuang selepas operasi rahsia selesai. – 16 Disember, 2019.
Berita penuh di sini
Komen