Wakil di Parlimen jadi agenda pemberdayaan Wanita PKR, kata Fadhlina


Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. – Gambar Facebook, 25 November, 2023.

WAKIL wanita di Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) serta cabang harus terus menjadi agenda pemberdayaan Wanita PKR, kata ketuanya Fadhlina Sidek.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, berdasarkan laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF 2023) dalam kalangan negara Asean, Malaysia berada di tangga tercorot dalam penguasaan dan pembabitan politik kaum wanita.

“Malah, sasaran mencapai 30% calon wanita dalam pilihan raya juga dianggap jauh kerana hanya 12% calon wanita dipertaruhkan untuk Pilihan Raya Negeri 2023.

“Walaupun terdapat banyak inisiatif bagi meningkatkan agenda 30% perwakilan wanita di Parlimen, tetapi ada banyak faktor yang menyebabkan kekurangan perwakilan wanita di Parlimen mahupun DUN termasuk ekosistem politik dan parti politik itu sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Fadhlina berkata, menerusi wakil wanita, ia mampu menentukan dasar dan polisi lebih baik bagi melindungi golongan hawa, kanak-kanak dan warga emas serta polisi yang cenderung mengarusperdanakan jantina.

Beliau berkata, dengan wakil jantina secara adil dan saksama, isu berkaitan keganasan rumahtangga, gangguan seksual, kesihatan mental, penuaan bermaruah, kesihatan keluarga, pembabitan dalam ekonomi dan tenaga kerja negara dan pembangunan keluarga dapat diperjuangkan dengan lebih efektif.

“Atas sebab itu, penting untuk Wanita Keadilan terus konsisten dalam memperjuangkan hak wanita dalam isu keganasan rumahtangga, perlindungan kanak-kanak, kewarganegaraan anak yang ibunya adalah warganegara Malaysia, advokasi berkaitan gangguan seksual dan pemberdayaan wanita dalam pembinaan negara masih menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau juga berharap supaya pimpinan parti terus komited dalam memastikan representasi wanita dalam setiap pilihan raya.

Fadhlina yang juga ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, mulai tahun depan, siri Wanita Akar Rumput Madani dan Run To Win akan menjadi program berkala untuk semua wanita manakala program Bakul Makanan Wanita, Kasih Keluarga Madani, Wanita Keadilan #sayangi diri dan #MadaniBelajar akan diperhebatkan di bawah Wanita PKR.

Sementara itu, Fadhlina berkata, kerajaan perpaduan juga mahu melaksanakan enam komitmen seiring dengan pelbagai islah dan reformasi institusi yang dilalui ketika ini, iaitu memartabatkan Mahkamah Syariah dengan memperkukuh bidang kuasa, reformasi tata cara sivil dan jenayah syariah dan menambah baik dan perluasan hukuman bagi memastikan keadilan.

Selain itu, memperluaskan akses serta kualiti pendidikan menerusi pemerkasaan Bahasa Melayu, memperkukuh Bahasa Inggeris dan kemahiran bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), memperkukuh sistem serta akses kesihatan untuk golongan rentan, kesihatan mental serta saringan kesihatan khusus untuk wanita.

Merekayasa polisi Negara Tua 2030 dan advokasi hak asasi warga emas, memperluas bidang pekerja sosial dan pekerja komuniti demi meningkatkan tenaga buruh khususnya dalam sektor ekonomi penjagaan dan menjamin perlindungan, pembelaan undang-undang, advokasi dan hak ke atas mangsa atau saksi rentan (wanita dan kanak-kanak) dalam kes keganasan seksual dalam konteks “sokongan mahkamah” semasa prosiding mahkamah berlangsung.

Dalam ucapan itu, Fadhlina yang turut menyentuh isu di Gaza, menggesa semua ahli sayap itu untuk terus mendukung pendirian kerajaan perpaduan yang tegas mengutuk kekejaman terhadap rakyat Palestin dan menggesa dunia agar menghentikan serangan tidak berperikemanusiaan oleh rejim Israel.

“Pembantaian umat Islam di Palestin khususnya keganasan terhadap kanak-kanak, wanita dan masyarakat awam dengan tegas kita suarakan di semua penjuru suara. Mustahil untuk kita tidak membuat sikap keras dan tegas terhadap Israel atau menyikapi dengan neutral,” katanya. – Bernama, 25 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen