Kementerian tambah warden 63% atasi kes buli, kata Fadhlina


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM menambah bilangan warden sebanyak 63 peratus sebagai langkah pencegahan kes buli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November 2023.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menambah bilangan warden sebanyak 63 peratus bermula 1 Ogos 2022 dengan julat sekurang-kurangnya tiga orang di sebuah asrama sebagai langkah pencegahan kes buli, kata Menterinya Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata KPM juga mengadakan kempen peningkatan kemahiran kepada warden dan ketua warden dari semasa ke semasa bersesuaian dengan tugas warden seperti yang digariskan dalam Garis Panduan Tadbir Urus Sekolah (MySG).

“Selain itu kementerian juga melaksanakan sistem rumah di asrama sebagai antara usaha untuk menghasilkan modal insan yang mempunyai kecemerlangan ilmu, kemampanan sahsiah, kesejagatan kepimpinan serta melakukan program sahsiah unggul murid di sekolah menengah.

“Jadi semua program ini kami jalankan termasuk dengan perkara yang dilaksanakan di bawah Garis Panduan Intervensi Buli di semua institusi KPM,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) berhubung langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh kementerian supaya kes buli tidak berlaku.

Sementara itu Fadhlina berkata kementerian sentiasa memandang serius tentang soal kebajikan dan keselamatan murid di bawah kementerian itu yang berkait dengan isu berkenaan.

Menurutnya bagi kes yang yang berlaku di sekolah mangsa dan pelaku akan dirujuk kepada guru bimbingan dan kaunseling untuk sesi kaunseling selain kementerian turut mempunyai pasukan tersebut untuk menangani isu berkenaan.

“Guru bimbingan dan kaunseling akan melakukan intervensi yang bersesuaian untuk memastikan intervensi yang berkaitan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan murid terjaga secara berterusan sebagai bentuk perlindungan sementara di sekolah bagi melindungi mangsa sewaktu siasatan dilakukan.

Semua kes buli perlu dirujuk kepada pengetua untuk tindakan selanjutnya katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Mohamed Taufik Johari (PH-Sungai Petani) bagaimana kementerian mencegah masalah kesihatan mental dalam kalangan mangsa buli serta ibu bapa mereka menerusi sesi kaunseling serta tempohnya.

Selain itu Fadhlina berkata pihak sekolah akan memantau disiplin murid sementara menunggu proses siasatan atau prosiding mahkamah selesai. – Bernama, 14 November 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen