Isu kekurangan guru di SJKC, SJKT bersifat sementara, kata Fadhlina


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata isu kekurangan guru yang sedang berlaku di SJKC dan SJKT adalah bersifat sementara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2023.

ISU kekurangan guru yang sedang berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) adalah bersifat sementara, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Katanya kementerian memberi perhatian serius terhadap masalah yang sedang berlaku di semua jenis sekolah itu termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) dan strategi bagi mengatasinya isu dilakukan secara jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk.

Menurutnya ia termasuk menerusi lantikan Guru Kontrak Perkhidmatan (COS), Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) dan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)

“Keperluan guru baharu sekolah rendah direncana berdasarkan kepada kekosongan perjawatan mengikut opsyen serta guru masuk dan keluar daripada sistem mengikut opsyen keluaran latihan PISMP dan pengambilannya dilakukan secara berterusan.

“Ia bagi mengisi kekosongan di semua jenis sekolah melibatkan semua opsyen mata pelajaran termasuk Bahasa Cina dan Bahasa Tamil,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Isu itu juga katanya dibincangkan dalam beberapa sesi libat urus hala tuju pendidikan bersama SJKC dan SJKT sepanjang tahun ini bagi memastikan kebimbangan setiap pemegang taruh ditangani dengan wajar.

Dalam hal itu Fadhlina berkata kementerian melaksanakan semakan daftar opsyen melalui proses penandaan opsyenguru opsyen Bahasa Cina di semua sekolah dengan setiap proses berkenaan unjuran guru dilaksanakan dengan teliti bersandarkan kepada data yang telah disahkan serta menerusi sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Beliau berkata intervensi itu penting bagi memastikan hanya data rasmi dan tepat yang dijadikan rujukan berkaitan unjuran kekurangan guru bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Kementerian bersama-sama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan isu kekurangan guru di semua jenis sekolah dapat diatasi, katanya. – Bernama, 17 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen