Pembebasan tebusan hanya permulaan, kata Biden


Sekumpulan penunjuk perasaan menjerit ‘Biden, Biden anda tak boleh sembunyi, kami dakwa anda dengan pembunuhan beramai-ramai’ sambil memegang kain rentang merah ‘Bebaskan Palestin’. – Gambar AFP, 25 November, 2023.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyifatkan pembebasan kumpulan pertama tebusan Hamas pada Jumaat hanyalah ‘permulaan dan ada peluang ‘sebenar’ untuk melanjutkan gencatan senjata sementara di Gaza.

Bercakap kepada pemberita di Nantucket, Massachusetts, lokasi beliau menghabiskan cuti Hari Kesyukuran bersama keluarganya, Biden juga berkata sudah tiba masanya untuk ‘memperbaharui’ kerja mewujudkan penyelesaian dua negara untuk mencapai keamanan antara Israel dan Palestin.

Seramai 24 tebusan - 13 Israel, 10 Thailand dan seorang rakyat Filipina diserahkan kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa di Gaza oleh Hamas pada Jumaat manakala Israel membebaskan 39 wanita dan kanak-kanak di bawah umur yang ditahan di penjaranya, kata Kementerian Luar Qatar.

Biden yang mengetuai usaha AS untuk memastikan jeda dalam pertempuran kejam antara Israel dan pejuang Hamas yang mengawal Gaza, berkata, ‘Saya fikir peluang itu nyata’ untuk melanjutkan gencatan senjata.

Beliau mengalu-alukan gencatan senjata empat hari itu sebagai permulaan untuk memudahkan pembebasan tebusan dibuat.

“Pagi ini saya sudah berhubung dengan pasukan saya apabila kita memulakan beberapa hari pertama untuk laksana perjanjian ini. Ia hanya permulaan, tetapi setakat ini ia berjalan lancar,” katanya.

Ditanya mengenai tebusan wanita dan kanak-kanak Amerika yang dijangka dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Biden berkata beliau tidak tahu bila mereka akan dibebaskan tetapi ‘kami menjangkakan ia akan berlaku’.

Beliau juga menggesa usaha yang lebih luas untuk keluar daripada krisis ke arah mewujudkan sebuah negara Palestin yang berdaya maju untuk wujud bersama Israel, dengan menyebut ‘perlu memperbaharui usaha kita untuk meneruskan penyelesaian dua negara ini’.

Penunjuk perasaan di seluruh AS yang dijalankan pada Khamis hingga mengganggu perarakan Hari Kesyukuran di New York itu menggesa Biden untuk mendesak gencatan senjata kekal.

Ketika Biden menghadiri acara pokok berlampu Krismas pada Jumaat, sekumpulan penunjuk perasaan menjerit ‘Biden, Biden anda tak boleh sembunyi, kami dakwa anda dengan pembunuhan beramai-ramai’ sambil memegang kain rentang merah ‘Bebaskan Palestin’.

Awal hari ini, ketika Biden berjalan untuk meninjau, sekumpulan orang menjerit ‘bebaskan Palestin’ dan ‘gencatan senjata sekarang’.

Sejak serangan 7 Oktober lalu, hampir 15,000 orang terbunuh di Gaza dengan 6,150 adalah kanak-kanak sementara 1,200 terbunuh di Israel. – AFP, 25  November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen