Presiden Indonesia gesa Biden bantu tamatkan kekejaman di Gaza


Presiden AS Joe Biden menerima kunjungan Presiden Indonesia Joko Widodo di White House bagi membincangkan pelbagai isu dua hala semasa pertemuan mereka. – Gambar AFP, 14 November, 2023.

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo mendesak Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden semasa lawatan ke White House pada Isnin untuk melakukan lebih banyak lagi bagi menamatkan “kekejaman” di Gaza dan membantu mewujudkan gencatan senjata.

Perang Israel-Hamas membayangi rundingan itu, yang bertujuan memperlihatkan peningkatan dalam hubungan antara Indonesia dan AS menjelang pertemuan Biden dengan Presiden China Xi Jinping minggu ini.

“Indonesia merayu kepada AS untuk melakukan lebih banyak lagi bagi menghentikan kekejaman di Gaza,” kata Widodo, pemimpin negara majoriti Islam paling ramai penduduk di dunia, ketika kedua-dua presiden bertemu.

“Gencatan senjata adalah satu kemestian demi kemanusiaan.”

Presiden Indonesia itu berkata pada Ahad beliau akan membawa"mesej yang sangat kuat” daripada sidang kemuncak bersama pemimpin Arab dan Islam di Riyadh pada hujung minggu yang mengutuk Israel dan menggesa gencatan senjata.

Widodo juga berkata beliau akan “menyampaikan mesej khusus Presiden Mahmoud Abbas dari Palestin, yang meminta saya menyampaikannya kepada Presiden Biden,” mengenai perang itu.

Bagaimanapun, Biden tetap fokus pada rancangan untuk meningkatkan kerjasama dengan Indonesia ke tahap tertinggi, yang disifatkan sebagai perkongsian strategik komprehensif.

Washington cuba membina pakatan di rantau Asia-Pasifik ketika China semakin mengukuhkan kedudukannya.

“Ini akan menandakan era baharu hubungan antara AS dan Indonesia secara menyeluruh, memberi kesan kepada segala-galanya,” kata Biden.

Para pemimpin juga akan membincangkan kerjasama mengenai mineral penting untuk bateri kenderaan elektrik dan teknologi tenaga bersih lain, di mana Indonesia mempunyai rizab yang besar, kata Biden.

Pertemuan itu diadakan dua hari sebelum Biden dijadual bertemu Xi di luar sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di San Francisco.

Washington dan Beijing berharap untuk menstabilkan hubungan ketika persaingan semakin tegang untuk pakatan dengan negara seperti Indonesia.

Indonesia dan negara lain akan memerhati perbincangan antara kuasa besar itu kerana mereka mahukan situasi yang tidak memberi risiko kepada konflik global, kata seorang pegawai AS pada Ahad.

Biden mendedahkan peningkatan yang sama hubungannya dengan Vietnam ketika lawatan ke Hanoi pada September.

Indonesia, seperti banyak negara membangun lain, menerima pelaburan dan pinjaman China yang besar, terutamanya untuk projek infrastruktur.

Tetapi kebimbangan global mengenai konflik Israel-Hamas berada dalam agenda di Washington, kerana mereka akan berada di San Francisco akhir minggu ini.

Pegawai AS berkata Biden seterusnya akan menggesa rakan sejawatannya dari Indonesia untuk mengambil “peranan lebih besar” dalam menyelesaikan situasi Timur Tengah.

“Saya fikir adalah penting untuk mendengar perspektif dari Indonesia mengenai konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah,” kata seorang pegawai kanan pentadbiran AS Ahad dalam perbualan melalui telefon dengan wartawan.

Ini termasuk isu gencatan senjata dan matlamat jangka panjang seperti penyelesaian dua negara selepas perang dan membina semula Semenanjung Gaza yang hancur, kata pegawai AS itu.

Indonesia minggu lalu menafikan dakwaan Israel yang sebuah hospital dibina di Gaza menggunakan dana amal Indonesia terletak di atas rangkaian terowong Hamas. – AFP, 14 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen