Jumlah sisa klinikal berkurangan 14.4% tahun lepas 


Penurunan kes Covid-19 menyebabkan pengurangan sisa klinikal yang terhasil. – Gambar EPA, 24 November, 2023.

JUMLAH sisa klinikal berkurang sebanyak 14.4% pada tahun 2022 kepada 49,100 metrik tan, berbanding 57,400 metrik tan pada tahun 2021, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin berkata tiga negeri yang merekodkan jumlah sisa klinikal terbanyak terdiri daripada Selangor (10,600 tan metrik), W.P. Kuala Lumpur (5,800 metrik tan) dan Sarawak (4,700 metrik tan).

“Penurunan kes Covid-19 menyebabkan pengurangan sisa klinikal yang terhasil kerana kurang penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) serta peralatan ujian Covid-19, berikutan penutupan pusat-pusat kuarantin.

“Ini memberi kelegaan kepada pengurusan tapak sisa klinikal selepas dua tahun berturut-turut mengalami kenaikan ketara,” katanya dalam Kompendium Perangkaan Alam Sekitar Malaysia 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan hari ini.

Kompendium Perangkan Alam Sekitar Malaysia 2023 menyediakan statistik alam sekitar mengenai enam (6) komponen iaitu Keadaan dan Kualiti Alam Sekitar; Sumber Alam dan Kegunaannya; Sisa; Kejadian Ekstrem dan Bencana; Penempatan Penduduk dan Kesihatan Persekitaran; serta Penglibatan, Pengurusan dan Perlindungan Alam Sekitar.

Kompilasi statistik ini berdasarkan Framework for the Development of Environment Statistics (FDES), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2013. – Bernama, 24 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen