Inflasi Malaysia sederhana 1.8% pada Oktober


INFLASI keseluruhan Malaysia pada Oktober 2023, yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna (IHP) menyederhana kepada 1.8%, terendah sejak April 2021, dengan IHP mencatatkan 130.9 mata berbanding 128.6 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu dipacu oleh kenaikan lebih rendah kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol pada 3.6% diikuti peningkatan perlahan kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.4%) dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.3%) berbanding 2.5% bulan sebelumnya.

Sementara itu, kumpulan utama lain yang menyumbang kepada peningkatan lebih rendah adalah kumpulan minuman alkohol dan tembakau (0.6%) dan pakaian serta kasut (0.0%), berbanding kenaikan masing-masing 0.7% dan 0.1% pada September 2023, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran IHP.

Komponen makanan di rumah meningkat 2.1% berbanding 2.5%yang direkodkan bulan sebelumnya, didorong terutamanya subkumpulan beras, roti dan bijirin lain pada 3.6% (September 2023: 4.1%), manakala komponen makanan di luar rumah meningkat perlahan kepada 5.6% berbanding 5.9% yang direkodkan pada September 2023.

Sementara itu, inflasi teras bagi Oktober, yang tidak termasuk makanan dan tenaga, meningkat lebih perlahan pada 2.4% (September 2023: 2.5%) namun masih melepasi kadar inflasi keseluruhan negara sebanyak 1.8%, dengan peningkatan tertinggi dicatatkan bagi inflasi makanan dan minuman bukan beralkohol (4.8%).

Inflasi keseluruhan Malaysia adalah lebih rendah berbanding Filipina pada 4.9%, Korea Selatan (3.8%), Vietnam (3.6%) dan Indonesia (2.6%). – Bernama, 24 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen