Pulau Pinang kekal pengeksport utama negara


Jabatan Perangkaan Malaysia berkata eksport dari Pulau Pinang menyumbang 34.6% daripada jumlah eksport negara. – Gambar AFP, 27 Oktober, 2023.

PULAU Pinang kekal sebagai pengeksport utama Malaysia pada September 2023, menyumbang 34.6% daripada jumlah eksport negara, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata empat negeri lain yang turut mencatatkan eksport tertinggi ialah Johor (19.3%), Selangor (17.1%), Sarawak (6.8%) dan Kedah (5.0%).

Beliau berkata kelima-lima negeri itu menyumbang 82.8% daripada eksport negara.  

Semasa bulan tersebut, eksport dari Pulau Pinang turun 10.1% tahun ke tahun kepada RM43 bilion, manakala import susut 15.2% tahun ke tahun kepada RM20.9 bilion.

Keseluruhannya, jumlah perdagangan Malaysia bagi September 2023 berjumlah RM224.4 bilion, dengan eksport dan import masing-masing sebanyak RM124.5 bilion dan RM100.0 bilion.

Mohd Uzir berkata eksport susut 13.7% tahun ke tahun manakala import jatuh 11.1% tahun ke tahun berikutan penurunan keseluruhan di kebanyakan negeri. – Bernama, 27 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen